
KOTA KINABALU – Perlumbaan Danum Mountain Bike Race 2026 bertemakan ‘Ride the Unseen Borneo’ yang dijadual berlangsung pada 14 Februari tahun depan bakal menawarkan pengalaman jelajah hutan hujan tropika Sabah yang unik kepada para peserta.
Ia antara acara berbasikal paling unik di rantau ini dengan menawarkan pengalaman kayuhan sejauh 88 kilometer merentasi laluan berbatu, pinggir hutan dan hutan hujan tropika Lembah Danum yang terkenal sebagai hutan terpelihara di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Nature Tours Sdn. Bhd dan Innoprise Junggle Lodge Sdn. Bhd, Freddie Coleman berkata, ia bukan sekadar acara biasa tetapi juga sebagai usaha menyokong pemuliharaan di Lembah Danum.
“Tujuan perlumbaan ini adalah untuk menghubungkan komuniti basikal dengan pemuliharaan.
“Setiap peserta yang mengambil bahagian secara langsung akan menyumbang kepada inisiatif jangka panjang yang bermakna di Lembah Danum, termasuk penyelidikan tingkah laku dan ekologi orangutan bersama Japan Orangutan Research Centre.
“Usaha penghijauan semula melalui pembelian dan penanaman anak benih hutan hujan asli yang diperoleh daripada INFAPRO.
“Dan pemantauan bioakustik dan kajian mamalia nokturnal dalam Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum,” katanya dalam sidang media di Shang Ri-La Tanjung Aru, di sini pada Rabu.

Jelasnya, peserta acara ini sangat bertuah kerana berpeluang untuk merentasi hutan simpan kelas 1 iaitu kawasan yang lazimnya hanya boleh diakses oleh saintis, pencinta alam, penyelidik dan sejumlah kecil tetamu.
Beliau berkata, Danum Mountain Bike Race disasarkan menjadi acara tahunan penting yang menggabungkan sukan lasak dan pemuliharaan, sekali gus meletakkan Sabah sebagai destinasi eko-pengembaraan utama di Asia Tenggara.
Tambahnya, hadiah turut ditawarkan kepada para pemenang iaitu juara bakal membawa pulang RM1,500 beserta trofi dan sijil, naib juara menerima RM1,200 beserta trofi dan sijil, manakala tempat ketiga membawa pulang RM1,000 bersama trofi dan sijil.
Pemenang di tempat keempat hingga kesepuluh pula akan menerima hadiah wang tunai RM250 setiap seorang.

Sebagai makluman, perlumbaan ini terhad kepada 200 peserta sahaja dan menawarkan kategori terbuka lelaki dan wanita, serta kategori veteran.
Justeru, bagi mereka yang berminat, pendaftaran boleh dibuat di ticket2u.com.my atau menghubungi talian 016-3680640 sebelum tarikh tutup pada 9 Januari depan.





