
BETONG – Kira-kira 130 bangunan sekolah yang dikategorikan sebagai daif pada skala enam dan tujuh di kawasan Parlimen Betong memerlukan kerja pembaikan serta naik taraf secara berperingkat bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan warga sekolah.
Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu berkata, usaha memperkukuh infrastruktur pendidikan masih berdepan pelbagai cabaran, khususnya melibatkan keadaan bangunan sekolah, bilik darjah, asrama dan kuarters guru yang memerlukan perhatian.
Menurutnya, pelaksanaan kerja baik pulih dan pembangunan semula kemudahan berkenaan penting bagi memastikan murid serta guru dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Daerah Betong berkata, pembangunan baharu seperti projek bernilai kira-kira RM28.5 juta di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda merupakan antara usaha meningkatkan kemudahan pendidikan luar bandar.
“Pembangunan baharu seperti projek ini bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah menjadi pelaburan pendidikan jangka panjang yang manfaatnya akan dinikmati oleh generasi akan datang.
“Ia juga menjadi asas kepada penyediaan persekitaran pembelajaran lebih berkualiti untuk tempoh puluhan tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Baharu dan Pembangunan Tambahan SK Kampung Buda, di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, Richard turut mengingatkan kontraktor, perunding dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memastikan pemantauan rapi dilaksanakan sepanjang tempoh pembinaan.
Katanya, penyelarasan antara semua pihak berkaitan penting bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual serta memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan yang ditetapkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan melalui Program Ubah Suai Naik Taraf (USNT) bagi membantu meningkatkan keadaan kemudahan sekolah yang uzur.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan merupakan antara pendekatan untuk menangani keperluan pembaikan infrastruktur pendidikan secara berperingkat.
Sementara itu, Richard turut menyentuh penurunan kuasa pelaksanaan projek Persekutuan bernilai RM50 juta ke bawah kepada agensi pelaksana di Sarawak, termasuk JKR Sarawak.
Beliau mencadangkan agar had nilai projek berkenaan dikaji semula, termasuk kemungkinan menaikkannya atau memansuhkan had tersebut bagi memperluas keupayaan agensi tempatan melaksanakan projek pembangunan.
Cadangan itu dikemukakan dalam konteks usaha meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek, khususnya bagi memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar.
Pembangunan serta kerja baik pulih sekolah secara berperingkat diharap dapat menyediakan kemudahan yang lebih berkualiti kepada murid dan guru, sekali gus menyokong usaha meningkatkan mutu pendidikan di kawasan Parlimen Betong.



