
KANGAR – Sebanyak 32 transaksi membabitkan wang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah RM85,468 disyaki dipindahkan ke akaun peribadi pengarahnya dalam tempoh hampir lima bulan sejak Mac lalu.
Kegiatan itu terbongkar susulan siasatan polis terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun yang merupakan pengarah Pertubuhan Jaringan Hikmah (Wisdom Network Organization) selepas laporan polis dibuat pada 13 November lalu.
Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, siasatan mendapati transaksi berkenaan berlaku antara 2 Mac hingga 20 Julai lalu.
“Siasatan mendapati wang milik pertubuhan itu dipercayai diseleweng menerusi 32 transaksi ke akaun peribadi suspek antara 2 Mac hingga 20 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di pintu ketibaan domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kira-kira pukul 11.05 pagi tadi.
Katanya, lelaki berkenaan ditahan sejurus tiba di lapangan terbang itu selepas menaiki penerbangan dari Sabah.
Beliau berkata, pertubuhan terbabit beralamat di Medan Niaga, Jalan Behor di sini dan jumlah keseluruhan wang yang disyaki diseleweng mencecah RM85,468.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah pecah amanah yang melibatkan penyalahgunaan kedudukan, kuasa dan kepercayaan termasuk oleh individu yang memegang jawatan sebagai pengarah NGO,” katanya.
Hamzah menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang tanpa mengira kedudukan atau status mereka.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berintegriti dan bertanggungjawab dalam menguruskan amanah serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis.



