
BETONG – Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda bakal menikmati kemudahan pendidikan lebih lengkap menerusi pelaksanaan projek pembinaan bangunan baharu dan tambahan bernilai RM28.5 juta di bawah inisiatif Sekolah Daif Sarawak 2025.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan mutu infrastruktur pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, penyediaan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif penting bagi menyokong proses pengajaran serta pembelajaran, sekali gus meningkatkan kesejahteraan murid dan guru.

“Projek ini penting dalam memastikan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan agar murid dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih baik,” katanya.
Projek bernilai RM28,499,801.50 itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan Asarajaya Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor pelaksana.
Kerja pembinaan bermula pada 28 September 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan dan dijadualkan siap pada 27 September 2028.
Antara komponen pembangunan berkenaan ialah pembinaan blok prasekolah dan pejabat pentadbiran yang dilengkapi bilik guru, bilik mesyuarat, bilik pengurusan peperiksaan serta pusat sumber.
Selain itu, kemudahan bilik kesihatan, bilik bimbingan dan kaunseling turut disediakan bagi memenuhi keperluan pembelajaran serta kebajikan warga sekolah.
Projek itu juga merangkumi pembinaan blok akademik yang dilengkapi bilik-bilik khas serta sebuah kantin bagi meningkatkan keselesaan murid dan kakitangan sekolah.
Dalam pada itu, sebanyak tujuh unit kuarters guru turut dibina, terdiri daripada sebuah kuarters Kelas E dan enam kuarters Kelas F.
Pembangunan berkenaan turut melibatkan penyediaan kemudahan tandas serta infrastruktur sokongan mengikut piawaian ditetapkan, termasuk ciri mesra orang kurang upaya (OKU).
Pelaksanaan projek itu dijangka dapat meningkatkan kemudahan pendidikan di SK Kampung Buda, selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik kepada murid serta kemudahan kerja yang lebih selesa kepada guru.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Anis Madeli dan Jurutera Bahagian JKR Betong, Jason Ng Boon Tuan.


