SARATOK – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok mencatat kejayaan besar apabila seramai 113 individu yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah diberkas dan dituduh sepanjang pelaksanaan Op Tapis Khas di seluruh daerah Saratok pada November 2025.
Operasi yang dijalankan secara serentak di Saratok, Roban dan Kabong itu menumpukan pemeriksaan intensif di kawasan berisiko tinggi melibatkan individu berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejayaan ini membuktikan komitmen pihak polis dalam membanteras aktiviti dadah di peringkat akar umbi.
“Sepanjang November, kita berjaya menahan 113 individu yang dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Ini hasil pelaksanaan Op Tapis Khas yang kita jalankan secara Total Enforcement tanpa henti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, majoriti tangkapan melibatkan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (kes positif dadah) dengan jumlah 97 orang. Selain itu, 8 individu ditahan kerana disyaki pembekal di bawah Seksyen 39A(1) akta sama. Baki tangkapan pula dibuat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 serta Akta Racun 1952.
“Kita akan terus melaksanakan Op Tapis Khas dari semasa ke semasa bagi memastikan rangkaian penagih dan pembekal dapat ditumpaskan sepenuhnya,” ujar Mathew.
“Kami menyeru masyarakat Saratok agar terus menyalurkan maklumat kepada IPD Saratok sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah. Kerjasama orang awam sangat penting,” tambahnya.
PDRM IPD Saratok menegaskan bahawa tindakan tegas akan diteruskan demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.




