DUN Sarawak lulus pindaan tambah empat lagi anggota MMKN

KUCHING – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2025 yang membuka ruang kepada kerajaan negeri melantik sehingga empat anggota tambahan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), sekali gus meningkatkan jumlah maksimum menteri kepada 14 orang tanpa mengambil kira jawatan Premier Sarawak.

Kelulusan itu dicapai selepas 23 ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan, dengan 74 ahli menyokong dan dua menolak pindaan berkenaan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika membentangkan RUU berkata, penambahan anggota MMKN diperlukan bagi menampung perkembangan struktur pentadbiran negeri, khususnya selepas jumlah kerusi DUN bertambah daripada 82 kepada 99 pada Ogos lalu.

Beliau berkata, beberapa menteri kini terpaksa memegang lebih daripada satu portfolio, menyebabkan peningkatan beban pentadbiran serta keperluan untuk memperkemas koordinasi dasar di pelbagai sektor.

“Dengan bertambahnya kawasan pilihan raya dan bidang kuasa pentadbiran, struktur MMKN yang ada tidak lagi seiring dengan keperluan semasa. Penambahan ini penting untuk mengukuhkan fungsi eksekutif dan memastikan agihan portfolio kementerian lebih teratur dan berkesan,” katanya pada persidangan DUN.

Abdul Karim yang turut menerajui kementerian belia, sukan dan keusahawanan menjelaskan pindaan tersebut tidak mengubah asas Perkara 6 Perlembagaan Negeri, namun menyediakan peruntukan baharu yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Negeri, berdasarkan nasihat Premier, untuk melantik sehingga empat menteri tambahan apabila diperlukan.

Beliau turut mengingatkan kali terakhir Sarawak menyemak komposisi Kabinet ialah pada tahun 1995, menjadikan usaha kali ini antara penstrukturan semula paling penting selepas tiga dekad, seiring kemunculan sektor ekonomi baharu seperti tenaga hijau, hidrogen, karbon, metanol dan ekonomi digital.

“Ini bukan keputusan yang dibuat secara terburu-buru. Ia datang daripada keperluan pentadbiran dan perkembangan ekonomi negeri yang jauh berbeza berbanding 30 tahun lalu,” jelasnya pada sidang media selepas kelulusan RUU tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau menekankan bahawa kuasa menentukan jumlah menteri serta sebarang pembentukan atau penyusunan semula kementerian kekal hak mutlak Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, kerajaan hanya akan mempertimbangkan penambahan kementerian apabila diyakini mampu menanggung sepenuhnya kos pentadbiran, termasuk operasi, sokongan jabatan dan peruntukan kementerian yang terlibat.

Foto: Jabatan Penerangan Negeri Sarawak

Related Posts

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, di sini, malam ini. Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa polis menyiasat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco negeri itu berhubung keputusan menerima proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

Krisis Negeri Sembilan kian memuncak, Amanah cadang MB mohon bubar

Krisis Negeri Sembilan kian memuncak, Amanah cadang MB mohon bubar

Kemelut Negeri Sembilan: Raja perlu dihormati, semua tindakan mesti ikut aturan – Ibrahim Ali

Kemelut Negeri Sembilan: Raja perlu dihormati, semua tindakan mesti ikut aturan – Ibrahim Ali

Pendidikan, sosioekonomi nadi utama kelestarian komuniti Tellian

Pendidikan, sosioekonomi nadi utama kelestarian komuniti Tellian

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET