
KLUANG – Dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dilaporkan parah selepas dipercayai tertimbus tanah ketika melakukan kerja-kerja pemusnahan bom lama di tapak perumahan Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Koperal Abd Halim Zainal dan Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary yang bertugas di Unit Pemusnah Bom Polis Johor dipercayai mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Susulan kejadian itu, dua anggota berkenaan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan kecemasan.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar ketika dihubungi media mengesahkan kejadian tanah runtuh berkenaan namun enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Saya belum mempunyai butiran terperinci mengenai tahap kecederaan, tetapi saya boleh mengesahkan anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu dikejarkan ke hospital,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehadiran ambulans ke kawasan perumahan berkenaan hingga mengundang pertanyaan penduduk setempat.






