
SEPANG – Kerajaan tidak akan menangguhkan pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mulai 1 Januari tahun depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan Gabungan Internet Asia (AIC) mengutuskan surat terbuka termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu sebagai ‘sesuatu yang pelik’.
“Saya berpendirian bahawa dalam perbincangan saya bersama wakil syarikat (platform media sosial dan pesanan internet) sewaktu bertemu di Singapura (baru-baru ini), mereka menyatakan pandangan positif dan saya kekal dengan pendirian itu.
“Ia agak pelik malah agak janggal apabila (syarikat) Grab mengeluarkan kenyataan, mereka tak ada kaitan (dengan surat diutuskan AIC), tak dibincang dan ini kita serah kepada AIC untuk menjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Temu Mesra Masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing di sini, hari ini.
Permintaan yang ‘pelik’
AIC menerusi surat terbuka kepada perdana menteri meminta kerajaan menangguhkan rancangan mewajibkan permohonan lesen oleh semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.
AIC – yang anggotanya termasuk Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab – mendakwa langkah pelesenan itu ‘tidak boleh dilaksanakan’ bagi industri berkenaan dan boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.
Fahmi berkata, beliau sendiri sudah menyemak tiga surat diutus AIC dan sekali lagi berpandangan ia sebagai satu tindakan yang pelik.
“Saya sudah semak dan mereka hantar satu surat pada 23 Ogos lalu, diikuti satu surat pindaan pada 26 Ogos dan satu lagi pagi tadi.
“Satu surat yang sama, pertama ada banyak logo, kemudian tinggal enam logo dan terakhir tiada logo, surat pertama kata ‘unworkable’ dan sekarang ini pandangan mereka sudah berubah,” katanya.






