PUTRAJAYA – Pertumbuhan ekonomi pesat dan inklusif mampan selama setengah abad membawa Malaysia hampir ke ambang negara berstatus berpendapatan tinggi, demikian menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Pengarah Cawangan Pengajian Negara, Jabatan Ekonomi OECD, Dr Luiz de Mello berkata, Malaysia mencapai kemajuan ekonomi dan sosial yang luar biasa sejak beberapa dekad lalu.
Dia berkata, prestasi ekonomi kukuh membuka jalan kepada penumpuan lebih pantas dalam taraf hidup berbanding negara yang lebih makmur dalam kawasan OECD.
Katanya, Malaysia juga telah mendahului rakan serantau dari segi pendapatan per kapita dan mengukuh menerajui sejak tiga dekad yang lalu.
“Pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif selama setengah abad membawa Malaysia hampir kepada ambang status berpendapatan tinggi.
“Malaysia dijangka mencapai ambang itu tidak lama lagi,” katanya pada pelancaran Tinjauan Ekonomi Malaysia 2024 OECD oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini, hari ini.
Mello berkata, pembaharuan dasar ketara pada tahun 1980-an membolehkan negara menarik aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ketara, dengan menjadi pengeluar cip dan elektronik global.
Dia berkata, Malaysia kini berada pada kedudukan yang baik untuk membina kemajuan itu.
Sehubungan itu, katanya OECD menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 4.9 peratus bagi 2024 dan 4.7 peratus pada 2025.
“Ekonomi negara ini kukuh dalam berdepan kejutan termasuk pandemik, gangguan rantaian bekalan dan kesan konflik Russia-Ukraine.
“Permintaan domestik yang kukuh dan peluang baharu dalam sektor dipacu teknologi serta jangkaan peningkatan semula eksport akan menggalakkan pelaburan swasta meskipun kos pembiayaan tinggi,” katanya lagi seperti dilapor Berita Harian.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa hasrat menjadi negara maju menjelang 2027 mampu dicapai sekiranya ekonomi Malaysia mampu tumbuh antara empat hingga lima peratus setiap tahun.
Selain itu, ringgit harus berada dalam kedudukan mengukuh iaitu sekitar RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat.







