
SIPITANG – Pembangunan prasarana sukan yang baik serta penyelenggaraan berterusan perlu menjadi fokus utama di Daerah Sipitang bagi memastikan pencapaian atlet dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa, kata Datuk Yamani Hafez Musa.
Jelasnya, pada masa sama beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua jurulatih serta atlet yang baru pulang daripada pertandingan Sukan Sabah Games (SAGA) 2025 yang berlangsung di Tawau.
“Kontinjen Sipitang tersebut membawa pulang enam pingat emas, tiga perak dan empat gangsa, satu pencapaian yang disifatkannya amat membanggakan.
“Saya percaya dalam masa-masa yang akan datang mungkin peningkatan ini boleh dicapai lebih tinggi lagi.
“Sudah tentu perkara-perkara yang penting untuk memastikan pencapaian kita ini, kita perlu memastikan penyediaan daripada pembangunan prasarana sukan yang baik,” katanya dalam satu hantaran video Facebook, pada Isnin.
Tambah Yamani, penyediaan kemudahan sukan perlu disertai penyelenggaraan yang teratur agar ia dapat digunakan dalam tempoh yang panjang.
“Kita bukan sahaja menyediakan tapi kita perlu juga menyelenggara atau ‘maintenance’ kepada apa-apa juga peralatan tersebut supaya ianya boleh digunakan lama,” katanya.
Yamani turut menyatakan hasrat untuk memperluas program akar umbi sukan bagi mencungkil potensi dan bakat anak-anak muda.
“Kerana saya percaya anak-anak muda kita telah berjaya bukan sahaja di peringkat daerah tapi ada juga yang sudah sampai di peringkat negeri, negara dan malah ada juga mereka yang telah mencapai prestasi yang sangat baik di peringkat antarabangsa,” ujarnya.






