
KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) Sabah memperkenalkan inisiatif teknologi baharu, AI Chatbot BN Sabah, sebagai platform interaktif bagi memperkenalkan calon-calon BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Dewan Undangan (DU) Sabah.
Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, langkah itu mencerminkan kesungguhan BN untuk beradaptasi dengan perubahan zaman dan kehendak generasi baharu.
“BN bukan sekadar parti bersejarah, tetapi parti yang terus bergerak seiring kemajuan teknologi dan aspirasi rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Zahid menyifatkannya sebagai langkah strategik parti untuk mendekati pengundi muda serta memodenkan cara komunikasi dalam era digital.
Jelas beliau, AI Chatbot BN Sabah berfungsi sebagai medium interaktif yang membolehkan rakyat, khususnya golongan muda dan pengundi baharu, mengenali calon-calon BN dengan lebih dekat, memahami latar belakang mereka, serta mengikuti aktiviti kempen dan dasar perjuangan parti di seluruh negeri.
“Selain memperkenalkan calon, platform ini juga menjadi sebahagian daripada usaha BN Sabah menangani penularan berita palsu menjelang pilihan raya.
“Chatbot ini akan menyalurkan maklumat sahih dan rasmi secara terus kepada rakyat, memastikan setiap maklumat yang diterima adalah tepat dan berfakta,” katanya.
Platform tersebut boleh diakses melalui dua saluran utama iaitu laman sesawang www.prnsabah.com dan Facebook rasmi BNComm Sabah.
Chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya itu direka secara mesra pengguna dan mampu menjawab pelbagai soalan berkaitan calon, manifesto, jadual kempen serta pencapaian BN di Sabah.
AI Chatbot BN Sabah dijadual beroperasi sepenuhnya mulai 12 November ini, bertepatan dengan fasa kempen utama menjelang PRU17 DU Sabah.






