KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata pihaknya memandang serius dakwaan di media sosial kononnya pengguna menerima kuantiti dan kualiti minyak RON95 yang diragui selepas pelaksanaan subsidi bersasar Budi MADANI RON95 (BUDI95).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, susulan dakwaan itu, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali mengarahkan mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi memastikan isu terbabit disiasat dengan telus dalam memastikan hak pengguna terus dilindungi.
“Sehingga kini KPDN sudah menerima enam aduan berkaitan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95 dan tiada aduan rasmi diterima berkaitan isu kualiti rendah.
“Sehubungan itu, pegawai penguat kuasa KPDN sudah menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Azman berkata, tindakan dilaksanakan termasuk pemeriksaan ke atas pam minyak dan semakan rekod jualan.
Katanya, hasil siasatan mendapati tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
“Kementerian ingin menegaskan pelaksanaan BUDI95 tidak membabitkan sebarang perubahan terhadap kuantiti atau kualiti petrol RON95 yang dijual kepada pengguna.
“Bagaimanapun, pemeriksaan berterusan akan diadakan termasuk pengambilan sampel secara rawak dan pengujian ketepatan sukatan,” katanya.






