
KINABATANGAN – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyambut baik hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan menawarkan semula penyertaan kepada bekas pemimpin dan ahli UMNO yang pernah dipecat, termasuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurut Bung Moktar, langkah itu menunjukkan bahawa UMNO kini semakin terbuka untuk menerima kembali ahli yang ingin bersama memperkukuh parti.
“Saya pun baru menerima maklumat melalui media massa mengenai perkara itu.
“Kalau ini yang dihasratkan oleh Presiden parti, saya rasa tiada sebab untuk mengatakan UMNO belum terbuka,” beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pengisytiharan Keuntagan Boleh Agih Interim 2/2025 Projek-Projek Peserta Berhad di Dataran Kinabatangan, di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan mana-mana individu yang diterima kembali supaya kekal setia kepada perjuangan parti dan tidak lagi bertindak keluar selepas menyertai semula.
“Kalau sudah masuk, masuk sahajalah. Jangan keluar-keluar lagi,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah, Bung Moktar memaklumkan perkara itu masih dalam proses penyelarasan.
“Belum siap sepenuhnya. Kalau mahu kira dari segi peratus, mungkin sekitar 65 peratus,” jelasnya.
Ditanya sama ada wujud kemungkinan berlaku pertindihan atau pertembungan antara kedua-dua pihak, beliau menyifatkan keadaan itu tidak akan berlaku.
“Mungkin tidak ada. Tidak langgar,” katanya.





