
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pemimpin pembangkang yang memperlekeh dan mempermainkan usaha kerajaan menjalinkan hubungan diplomasi bagi membantu menyelesaikan konflik di peringkat serantau serta global.
Menurut beliau, tindakan sinis itu termasuklah memperolok-olokkan inisiatifnya dengan gelaran ‘Perdana Menteri Telefon’, sedangkan usaha berkenaan telah membuahkan hasil dalam misi perdamaian antara beberapa negara jiran.
“Ahli-ahli Parlimen ini bertindak mempermainkan dengan menyatakan ini Perdana Menteri telefon, sedangkan dengan telefon itulah kita bantu damaikan Kemboja dengan Thailand.
“Dengan telefon itulah kita menyertai usaha-usaha orang lain, melakukan usaha kecil kita bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Anwar turut mendedahkan bahawa kerajaan Qatar baru-baru ini menghubunginya bagi mendapatkan sokongan Malaysia dalam usaha membawa Menteri Pertahanan Afghanistan dan Menteri Pakistan ke meja rundingan damai.
“Oleh kerana kita ada hubungan baik dengan Pakistan dan Afghanistan, diminta untuk kita menekankan, menggesa dua-dua negara ini cari jalan damai yang sekarang sedang dirunding di Doha, Qatar.
“Ini yang kita kerjakan, menghubungi tiga negara ini kerana kita diminta dalam keadaan kita adalah negara kecil, tetapi Alhamdulillah, dapat penghormatan (sedemikian).
“Jadi apa salah kita? Bukan kita hantar ke sana ratusan juta ringgit, cuma hanya bercakap, menggesa mereka membantu dan Alhamdulillah hari ini mereka terus berunding dan kita harap hubungan dua negara ini kembali aman kerana dengan peperangan ini akan sebabkan rakyat terdera dan terseksa,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menempelak sikap segelintir ahli politik yang disifatkannya berperangai hodoh kerana gagal menghargai usaha keras penjawat awam serta pegawai penguat kuasa yang bertungkus-lumus membanteras rasuah dan penyelewengan.
“Susah payah penguat kuasa bertungkus lumus bekerja tapi tak dapat penghargaan malah ada ceramah Ahli Parlimen yang kerjanya nak maki sahaja, tak dengar pun satu perkara baik daripada mereka.
“Sebab itu saya ambil keputusan bersama Jemaah Menteri untuk iktiraf penjawat awam antaranya melalui penyelarasan subsidi.
“Antaranya dulu kita tampung harga ayam melalui subsidi RM1.1 bilion, siapa yang dapat? Kartel ayamlah, jadi kita putus tarik balik (bantuan subsidi), harga (ayam) kekal rendah dan wang itu diselamatkan dan dipulangkan balik kepada rakyat,” katanya.






