
KOTA KINABALU – Rundingan pembahagian kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah hampir selesai.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana majoriti kerusi telah selesai diagihkan dan pengumuman rasmi akan dibuat pada masa yang sesuai.
“Jangan susah sebenarnya sudah, tapi kita tidak boleh umum awal betul.
“Jadi bilangan kerusi pun sudah, jadi kalau ada pun, satu dua kerusi jadi saya anggap itu perundangan yang mencapai kemuktamadan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS, PRN17 Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan semangat dan momentum jentera pada masa ini berada pada tahap tinggi, mencerminkan keyakinan GRS dalam berdepan pilihan raya negeri kali ini.
“Nampak tadi cukup bersemangat. Jadi begitulah politik.
“Masing-masing memastikan parti masing-masing menang.
“Insya-Allah, kita amat yakin dengan kemampuan GRS untuk berdepan dalam pilihan raya ini dan insya-Allah akan sekali lagi diberi kepercayaan oleh rakyat negeri Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut, Hajiji turut memaklumkan bahawa pelancaran jentera telah pun dijalankan di peringkat bahagian lebih awal, manakala acara di SICC hari ini merupakan pelancaran rasmi peringkat negeri.
“Ya, tiap-tiap bahagian sudah ada. Ada yang sudah buat, ada yang sudah lancar sendiri.
“Sudah lama sudah ini. Ini sebagai secara rasminya saja,” jelas beliau.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai video sindiran terhadap parti-parti tempatan Sabah, Hajiji hanya berkata beliau tidak mahu mengulas hal tersebut.
“Ya, biarlah dia cakap begitu. Orang tahu juga ‘style’ Bung Moktar.
“Saya tidak mahu komen begini punya hal,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Sebagai rekod, kira-kira 20,000 penyokong dan ahli parti yang menyertai majlis pelancaran itu.
Turut hadir Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Masidi Manjun; Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden United Sabah National Organization (USNO), Tan Sri Datuk Seri Pandikar Amin Mulia; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Datuk Liew Yun Fah; Presiden Liberal Democratic Party (LDP), Datuk Chin Su Phin dan Tan Sri Datuk Seri Anifah Aman (Presiden Parti Cinta Sabah).






