
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada sebarang unsur buli dalam kejadian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dibunuh pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal menunjukkan terdapat beberapa tikaman di badan mangsa yang dipercayai dibunuh di kawasan berhampiran tandas perempuan.
“(Setakat siasatan yang sudah dibuat) saya mengesahkan tiada unsur buli yang berlaku.
“Tetapi siasatan lanjut kita akan jalankan jika timbul perkara lain,” katanya pada sidang media, pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di sini, maut dipercayai ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun, hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, hasil siasatan awal mendapati dua senjata tajam dipercayai digunakan pelajar tingkatan dua itu dan mendapati terdapat beberapa tikaman di bahagian badan mangsa.
“Kita rampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini. Kita akan sahkan kemudian (jenis senjata digunakan) itu nanti.
“Kecederaan tikaman (didapati di bahagian badan mangsa). Apabila laporan bedah siasat keluar nanti, kita akan tahu berapa jumlah tikaman sebenar,” katanya
Dalam pada itu, Shamsudin turut memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) untuk bedah siasat.
“Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis.Kita akan pergi kepada siasatan lanjut selepas ini. Masih terlalu awal untuk (mengenal pasti punca kejadian),” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga dalam proses merakam keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
“Pegawai penyiasat masih lagi di sekolah, saya belum dapat pastikan berapa lagi keterangan (yang diambil). Sudah pasti rakan-rakan mangsa atau suspek atau guru akan direkod dan diambil keterangan,” katanya.







