BEKAS pengurus Real Madrid dan legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane menyimpan hasrat untuk mengendalikan pasukan kebangsaan ‘Les Bleus’.
Bekas pemain tengah yang pernah membuat 108 penampilan bersama pasukan kebangsaan Perancis itu belum melatih mana-mana pasukan selepas meletakkan jawatan sebagai pengurus Real Madrid pada tahun 2021.
Sepanjang tempoh dia bersama ‘Los Blancos’, Zidane meraih pelbagai kejayaan besar, termasuk memenangi Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut pada tahun 2016, 2017 dan 2018.
Ramai menjangkakan dia akan segera mengambil alih kelab baharu di mana Zidane dikaitkan dengan kelab besar seperti Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG) tetapi sehingga kini masih belum menandatangani sebarang kontrak.
Legenda Perancis itu menamatkan spekulasi apabila mengesahkan bahawa dia berhasrat untuk kembali ke bangku jurulatih dan mempunyai satu destinasi utama dalam fikiran.
Bercakap di Festival Dello Sport, Zidane berkata ‘saya pasti akan kembali ke bidang kejurulatihan. Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa depan.
“Salah satu impian saya adalah untuk melatih pasukan kebangsaan Perancis. Kita akan lihat nanti.”
Pengendali Perancis ketika ini, Didier Deschamps, dijangka akan menamatkan tugasnya selepas Piala Dunia 2026.






