MINDA TOK ABAH – MADANI: Manhaj Anwar Ibrahim

“BANGSA yang besar ialah bangsa yang menjaga budi dan maruah rakyatnya.” Ungkapan ini adalah amanat sejarah, mengingatkan kita bahawa kekuatan bangsa tidak sekadar diukur melalui megahnya bangunan atau derasnya angka pertumbuhan ekonomi, tetapi lebih halus – melalui adab, nilai, serta kesejahteraan rakyat jelata.

Di sinilah lahirnya gagasan Malaysia MADANI – bukan sekadar slogan politik, tetapi sebuah manhaj yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. MADANI mencerminkan visi panjang perjuangannya, yang sejak puluhan tahun lalu konsisten menegaskan bahawa pembangunan negara harus berteraskan akhlak, keadilan, dan martabat insan. Ia adalah jalan yang mengikat falsafah ketamadunan Islam, warisan Alam Melayu, dan nilai sejagat dalam satu kerangka kebangsaan.

Manhaj Anwar Ibrahim

Bagi Anwar Ibrahim, MADANI bukanlah retorik. Ia adalah metodologi pentadbiran – satu disiplin fikir dan amal. Enam prinsip terasnya – kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan – bukan sekadar teori, tetapi asas kepada setiap dasar kerajaan pimpinannya. Nilai ini bersifat universal, yang boleh diterima seluruh warganegara tanpa mengira kaum, agama mahupun latar budaya.

Ia suatu pendekatan baharu yang tidak hanya menekankan materialisme atau angka pertumbuhan semata-mata – MADANI meletakkan keseimbangan. Ia menuntut pertumbuhan ekonomi yang berakar pada keadilan sosial, pembangunan moden yang tetap menghargai kearifan tempatan, serta kemajuan teknologi yang tidak mengorbankan nilai kemanusiaan.

Perspektif budiman dalam Alam Melayu

Untuk memahami MADANI dengan jiwa, kita perlu menilik ke dalam falsafah Alam Melayu yang menjunjung konsep budiman. Seperti insan budiman, manhaj Anwar Ibrahim melalui MADANI menekankan adab sebagai asas kepemimpinan: berani tetapi insaf, maju tetapi tidak culas pada moral, berkuasa tetapi tunduk kepada nilai kemanusiaan.

Konsep budi pekerti, akal budi, hati budi, dan budi bicara yang sudah sekian lama membentuk identiti bangsa ini kini diterjemah dalam kerangka negara. Dengan MADANI, Anwar mengangkat warisan Nusantara sebagai jambatan yang menyatukan tradisi dan peradaban moden sekali gus menegaskan bahawa kemajuan sejati tidak akan lahir daripada kerakusan, tetapi daripada keseimbangan.

Dari sejarah ke pascanormal

Sejak 1957, pembangunan Malaysia menempuh pelbagai fasa: daripada pembinaan negara bangsa merdeka, ke dasar DEB pada 1970-an yang membasmi kemiskinan, ke era globalisasi 1990-an yang membuka peluang dan ketidaksamarataan, hinggalah cabaran pascanormal hari ini – krisis iklim, teknologi disruptif, dan tekanan ekonomi global – menuntut pendekatan baharu.

Anwar hadir bersama MADANI sebagai jawapan kepada era pascanormal ini. Ia menekankan bahawa pembangunan negara harus bersandar pada akhlak dan kemanusiaan. Dengan itu, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur tidak lagi menjadi ukuran tunggal; yang lebih utama ialah pembangunan jiwa serta peradaban bangsa.

Dasar dengan jiwa

Manhaj Anwar diterjemah dalam bentuk nyata. Lihat sahaja BUDI95, harga petrol turun ke RM1.99 seliter. Tambah pula dengan STR yang terus menyokong isi rumah, SARA yang meringankan kos dapur. Tidak berhenti di situ, Kerajaan MADANI membuka ruang melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk kerja dan niaga, sambil melengkapkan perlindungan sosial serta meluaskan akses kepada perumahan mampu milik.

Inisiatif ini membuktikan bahawa MADANI bukan retorik, tetapi praktikal dan berjiwa rakyat. Ia adalah keseimbangan antara keadilan sosial dengan tanggungjawab kewangan negara – sebuah cerminan jelas bahawa nilai budi masih menjadi asas dalam pentadbiran yang lahir daripada jiwa seorang pemimpin yang menjiwai penderitaan rakyat.

Patriotisme dalam semangat MADANI

Patriotisme MADANI lebih luas daripada sekadar mengibarkan Jalur Gemilang. Ia menuntut tekad bersama membina bangsa yang bermaruah, menolak budaya perpecahan, menegakkan integriti, serta berpegang pada nilai ilmu dan adab.

Cinta kepada tanah air dalam kerangka MADANI lahir melalui kerja tekun, penolakan rasuah, pemeliharaan alam sekitar, dan kesediaan membantu sesama rakyat. Setiap amal kecil, apabila dikumpulkan, adalah manifestasi cinta yang lebih tulus daripada laungan kosong.

MADANI adalah naratif tentang negara bangsa yang adil, beradab, dan bermaruah. Ia melampaui sekadar gagasan politik, malah lebih besar daripada refleksi agama – ia sebuah kerangka universal yang berpaksikan budi serta kearifan tempatan.

Apabila Malaysia berpegang pada prinsip MADANI dan akar budinya sendiri, kita akan melangkah sebagai sebuah negara budiman – maju dalam ekonomi, unggul dalam nilai, dan dihormati di dunia. Inilah makna sebenar sebuah kemerdekaan, dan inilah erti sebuah Malaysia MADANI.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk ahli politik perlu menghayati dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat mengenai kepentingan mengamalkan semangat serta nilai Rukun Negara dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

KUALA LUMPUR – Semua platform media sosial yang beroperasi di Malaysia diwajibkan menghormati dan mematuhi undang-undang negara, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital. Menteri Komunikasi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sambutan Hari Gawai cerminkan perpaduan rakyat Sarawak

Sambutan Hari Gawai cerminkan perpaduan rakyat Sarawak

Penunggang motosikal maut selepas terbabas masuk gaung

Penunggang motosikal maut selepas terbabas masuk gaung

PRN Johor tidak gugat Kerajaan Perpaduan, rakyat perlu terima realiti politik baharu

PRN Johor tidak gugat Kerajaan Perpaduan, rakyat perlu terima realiti politik baharu

Pemimpin PH Negeri Sembilan adakan pertemuan, dipercayai bagi bincang pembubaran DUN

Pemimpin PH Negeri Sembilan adakan pertemuan, dipercayai bagi bincang pembubaran DUN

PRN Johor: Medan ujian politik baharu Malaysia

PRN Johor: Medan ujian politik baharu Malaysia

Tampar cucu Nik Aziz, Azhar nafi dakwaan fitnah

Tampar cucu Nik Aziz, Azhar nafi dakwaan fitnah