
KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, pada Jumaat mendengar keterangan saksi kanak-kanak kelima yang mendedahkan kewujudan kumpulan pelajar yang dikenali sebagai ‘Circle 19’.
Menurut wakil pasukan guaman ibu Zara, Shahlan Jufri, saksi menceritakan kumpulan tersebut terdiri daripada 19 orang pelajar yang berada dalam tingkatan yang sama dan berkawan rapat sejak awal persekolahan.
Katanya, saksi kanak-kanak kelima mengakui dia merupakan sebahagian daripada kumpulan berkenaan.
“Saksi turut menceritakan semula detik-detik sebelum kejadian, termasuk bagaimana Zara disuruh duduk di lantai sebelum ditanya mengenai kehilangan dompet seorang pelajar.
“Zara menafikan tuduhan itu dan disuruh bersumpah.
“Dia mengangkat sumpah dengan nama Allah dan berkata ‘Wallahi’.
“Namun, Zara tetap duduk di lantai tanpa bergerak ke biliknya,” katanya.
Shahlan berkata, saksi memberitahu seorang pelajar lain kemudian menyoal Zara mengenai pin bendera yang ditemui di dalam begnya sambil menjerit perkataan kasar, namun Zara tetap menafikan mengambil barangan tersebut.
“Selepas itu, seorang pelajar lain datang ke dalam bilik menyoal dengan nada marah tentang barangan peribadi pin bendera yang ditemui di dalam beg Zara, sambil menjerit perkataan “Bodoh, sial”.
“Pelajar tersebut tanya kenapa pin
benderanya di dalam beg Zara, tetapi Zara diam. Ada pelajar lain juga tanya pasal lencana bendera kepada Zara namun Zara berkata ’tidak, bukan dia’,” katanya.
Shahlan berkata lagi, beberapa pelajar lain juga menyoal mengenai isu sama, sementara ada yang melihat surat berlipat berdekatan Zara yang ketika itu hanya tunduk dan berdiam diri.
“Saksi berkata dia kemudian mendapat tahu ada seorang pelajar terjatuh dari bangunan asrama dan pakaian yang dipakai ketika itu dikenal pasti milik Zara pada malam sebelumnya,” kata peguam.
Keterangan saksi kanak-kanak kelima ini akan disambung pada Isnin depan untuk sesi soal jawab oleh peguam bapa Zara serta pasukan guaman yang mewakili lima remaja tertuduh iaitu Joan Goh, Datuk Ram Singh dan Azhier Farhan Arisin.





