
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-92, hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar merakamkan penghargaan atas khidmat bakti dan pengorbanan para pegawai serta anggota ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Semoga seluruh warga ATM sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan dan semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pesara ATM yang telah menabur bakti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, selain mendoakan kesejahteraan roh perajurit yang telah gugur.
“Al-Fatihah buat perajurit yang telah pergi mendahului kita.
“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin dan syuhada. Dirgahayu Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.


