
PAPAR – Penduduk yang tinggal berhampiran cerun bukit dinasihatkan supaya tidak menunggu saat akhir untuk berpindah jika hujan berlarutan.
Menurut Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, langkah awal berpindah amat penting bagi mengelakkan sebarang risiko atau ancaman yang boleh mengancam keselamatan.
“Pemimpin setempat menasihatkan supaya penduduk berisiko berpindah lebih awal sama ada ke rumah saudara-mara atau ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang telah dibuka.
“Barang-barang berharga dan dokumen penting juga disarankan dipindahkan awal bagi mengelakkan kehilangan sekiranya bencana berlaku,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat mangsa bencana banjir di PPS Dewan Lok Kawi Height, Kinarut, pada Selasa.
Seramai 215 mangsa daripada 63 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Papar berikutan banjir dan tanah runtuh yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Tambah Armizan, pihaknya telah berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim mengenai penempatan sementara bagi membantu keluarga mangsa yang terlibat.
“Penempatan sementara akan diberikan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh semalam melibatkan dua kampung di iaitu Kampung (Kg) Mook dan Kg Marahang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berduka dengan bencana yang menimpa warga Papar, sehingga meragut lima nyawa, dua di Kg Mook dan tiga di Kg Marahang.
“Kita amat sedih dengan insiden ini. Keluarga mangsa akan menerima bantuan kematian RM10,000 setiap seorang seperti diumumkan Ketua Menteri.
“Mereka juga ditempatkan sementara di balai raya, sebelum dipindahkan ke PPR atau rumah sewa,” ujarnya.






