Tertuduh serang Sultan Perak didakwa, diperintah jalani pemeriksaan mental

IPOH – Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, pada Isnin, atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada 31 Ogos lalu.

Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, hadir ke mahkamah dengan bergari dan memakai baju-T belang lengan panjang serta seluar hitam.

Pertuduhan dibacakan jurubahasa namun tiada pengakuan direkodkan, sebaliknya tertuduh hanya mengangguk tanda faham.

Hakim, Mohd Harith Mohd Mazlan, membenarkan Nurhaswani menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan terhadap Sultan Nazrin di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, pada jam 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Nur Izzah Farzana Mohd Tafkir, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Saravanan.

Nasrul Hadi memohon mahkamah agar tiada pengakuan diambil daripada tertuduh kerana hasil siasatan awal mendapati wanita itu menghidap penyakit skizofrenia.

Beliau turut meminta agar tertuduh menjalani pemeriksaan lanjut dan pemantauan mengikut Seksyen 11 dan 14 Akta Kesihatan Mental 2001, bagi menilai tahap kewarasan ketika kejadian.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh bertindak nekad naik ke pentas utama dan cuba menyerang Sultan Nazrin ketika Lagu Kebesaran Negeri Perak dimainkan pada sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh.

Suspek turut mempunyai rekod lampau kes dadah serta sejarah rawatan psikiatri.

Related Posts

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

MIRI – Kesemua lima mangsa yang menaiki sebuah helikopter sewa khas bagi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) disahkan maut selepas pesawat berkenaan terhempas di hujung landasan STOLport Long Lellang pada petang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tekong, awak-awak terjun lumpur tinggalkan 8 PATI

KUALA PERLIS – Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditinggalkan di dalam sebuah sampan selepas dua lelaki dipercayai tekong dan awak-awak terjun ke kawasan berlumpur sebelum melarikan diri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen esok

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen esok

Tekong, awak-awak terjun lumpur tinggalkan 8 PATI

Tekong, awak-awak terjun lumpur tinggalkan 8 PATI

Ismail nafi Zahid usaha jatuhkan Tuanku Muhriz

Ismail nafi Zahid usaha jatuhkan Tuanku Muhriz

Geng Man Kuda tumpas, 14 kes samun dan curi kenderaan terbongkar

Geng Man Kuda tumpas, 14 kes samun dan curi kenderaan terbongkar

PM Anwar mahu ketua jabatan, agensi kerajaan turun padang pastikan projek lancar

PM Anwar mahu ketua jabatan, agensi kerajaan turun padang pastikan projek lancar