
PUTRAJAYA – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 one-off yang dinikmati semua rakyat dewasa berusia 18 tahun dan ke atas mulai 31 Ogos hingga 31 Disember tahun ini memberi nafas baharu kepada peruncit, selain mencerminkan keperluan sebenar rakyat.
Penasihat Persatuan Peruncitan Bumiputera Malaysia, Datuk Dr Ameer Mydin Ali berpandangan, insiatif itu menjadi instrumen ekonomi dalam merancakkan perbelanjaan domestik, biarpun ada sesetengah pihak mendakwa jumlah diberikan Kerajaan Persekutuan adalah kecil.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) berkata, sejak Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA dilaksanakan, impak segera terhadap peruncit dapat dilihat di mana lebih 4,000 peruncit menikmati lonjakan jualan antara 15 hingga 20 peratus.
“Ini merupakan kali pertama Kerajaan Persekutuan melaksanakan penghargaan dengan pemberian SARA sebanyak RM100 secara one-off untuk semua rakyat. Justeru, semua pihak harus memberi peluang kepada kerajaan untuk melihat sejauh mana keberkesanan inisiatif tersebut.
“Dengan ini, kerajaan akan tahu paling penting mekanisme yang digunakan. Kerana itu pentingnya data. Paling penting kerajaan bantu rakyat sebagaimana negara-negara lain yang juga berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas berkenaan penyediaan kotak SARA Rahmah yang turut dilancarkan di Mydin, Ameer berpandangan penyediaan langkah terbabit yang terdiri daripada produk-produk tempatan amat membantu perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia.
“Kita boleh tolong IKS dengan membeli barangan daripada mereka, bukannya barang-barang multinasional sedangkan produk sama sahaja. Di Mydin dengan adanya inisiatif SARA RM100 ini kita masukkan produk IKS dalam Kotak SARA Rahmah.
“Pengusaha sebenarnya mereka mahukan pengguna membeli barang-barang mereka, sebab itu saya berpandangan, idea kotak SARA Rahmah memenuhi kehendak mereka sekali gus merancakkan ekosistem perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Ameer memaklumkan, Mydin juga mengambil pendekatan dengan melanjutkan waktu operasi di 50 cawangan terpilih seluruh negara pada 5 hingga 7 September ini, bermula jam 7 pagi hingga 1 pagi bagi memberi lebih ruang kepada pelanggan berbelanja.
Katanya, langkah itu dilaksanakan bagi menyokong rakyat memanfaatkan Bantuan SARA RM100 serta pelbagai bantuan lain yang dikreditkan kerajaan.
“Mydin memahami keperluan pelanggan untuk mempunyai lebih masa membeli-belah dengan selesa.Dengan lanjutan operasi ini, kami harap kesesakan dapat dikurangkan, selain memastikan bekalan barangan asas sentiasa mencukupi.
“Kami komited untuk terus menyokong usaha kerajaan dalam meringankan kos sara hidup rakyat melalui harga berpatutan dan jaminan barangan keperluan asas yang stabil di pasaran. Langkah ini dijangka membolehkan pelanggan berbelanja dengan lebih selesa, teratur serta mengurangkan kesesakan,” katanya.
Sebanyak 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia kini boleh menyemak kelayakan penghargaan SARA RM100 di portal rasmi https://sara.gov.my.
Tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat kerana kelayakan untuk SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Jangan terpedaya dengan sebarang tipu helah atau ‘scammer’ kerana bantuan penghargaan SARA akan disalurkan secara terus ke dalam MyKad penerima.
Pilih barang yang dalam senarai, dan tunjukkan MyKad di kaunter bayaran 4,600 peruncit terpilih seluruh negara dari 31 Ogos sehingga 31 Disember 2025.






