
PELAKSANAAN Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencatat sejarah apabila lebih 850,000 rakyat Malaysia berbelanja melebihi RM50 juta pada hari pertama pelaksanaannya semalam.
Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob berkata, kejayaan awal itu membuktikan inisiatif kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat dan memberi impak segera kepada ekonomi tempatan.
“Hari pertama sahaja sudah membuktikan kejayaan SARA. Ia bukan sekadar soal bantuan kewangan, tetapi simbol keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
“Dari bandar hingga ke kampung, daripada peniaga kecil hingga ke pasar raya, semua menerima manfaat,” katanya dalam kenyataan.
Dalam suasana cabaran kos sara hidup, beliau berkata, SARA hadir sebagai penyelamat kepada jutaan rakyat apabila bantuan tambahan seperti kredit RM100 secara ‘one-off’ mampu meningkatkan kuasa beli rakyat.
Walaupun sistem transaksi mengalami peningkatan mendadak pada hari pertama, Kementerian Kewangan (MoF) bersama MyKasih pantas menambah kapasiti sistem agar urusan perbelanjaan rakyat dapat berjalan lancar pada 1 September 2025.
Menurut Ahmad Nadhir lagi, pelaksanaan SARA membuktikan Kerajaan MADANI bukan sahaja mengumumkan dasar, malah memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik dan pantas.
“SARA adalah bukti kerajaan bekerja untuk rakyat, bersama rakyat dan demi rakyat. Kejayaan awal ini hanyalah permulaan kepada perjalanan lebih panjang dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin,” ujarnya.
Dengan lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara, pelaksanaan SARA turut merancakkan ekonomi setempat apabila perbelanjaan rakyat memberi limpahan hasil kepada peniaga dan memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.





