
TAWAU – Suasana penuh emosi dalam himpunan solidariti menuntut keadilan buat Allayarhamah Zara Qairina Mahathir di Tawau pada Ahad bertukar tegang apabila acara itu dicemari dengan laungan serta slogan berunsur politik.
Pengerusi Persatuan Muafakat Anak Bangsa Sabah (PMAB SABAH), Ismail Sabran berkata, kehadiran orang ramai pada himpunan berkenaan adalah untuk menunjukkan solidariti dan menuntut keadilan atas kematian tragis arwah Zara dan bukannya mendengar ucapan bersifat politik atau menyerang tokoh tertentu yang tiada kaitan langsung dengan insiden tersebut.
“Orang datang sebab mahu lihat pembuli direman, mahu wajah mereka dipaparkan, mahu tindakan tegas diambil terhadap warden dan pengetua atas kecuaian.
“Tapi apa jadi? Sekali muncul pula nama Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman… Apa kaitan beliau dengan kes Zara?” katanya dalam kenyataan kepada media, pada Ahad.
Ismail menegaskan bahawa himpunan sedemikian harus kembali kepada asas iaitu suara rakyat menuntut keadilan bukan dijadikan pentas mencipta naratif politik.
“Kenapa tidak beri ruang kepada golongan ibu untuk berucap? Orang ramai hadir sebab simpati, sebab mahu dengar suara mereka.
“Tapi pentas diisi dengan ucapan menyalahkan ‘orang kaya’ dan ‘orang politik’ secara umum. Ini bukan caranya,” tegasnya.
Menurut Ismail, beberapa program solidariti lain yang disertainya sebelum ini di Kunak, pekarangan Majlis Perbandaran Tawau (29 Ogos) dan di Kompleks Sukan (30 Ogos) berjalan dengan tertib tanpa elemen politik dan mengekalkan fokus tuntutan keadilan.
“Kita tidak menolak usaha solidariti, tapi jangan jadikan pentas penderitaan ini sebagai gelanggang politik.
“Hormatilah kesedihan dan kemarahan rakyat,” ujarnya.





