
MELAKA – Kontinjen Melaka terus unggul membuktikan mereka adalah kuasa besar dalam sukan wushu apabila membolot dua lagi emas masing-masing dalam kategori nandao wanita dan lelaki.
Acara yang berlangsung di Dewan Wushu Pusat Sukan Sarawak (SSC) itu, menyaksikan wakil Melaka dalam kategori nandao wanita Nor Azira Kamarudzaman memenangi emas selepas mengutip 9.570 mata dan Loi Xue Jing, menerusi acara Sanda 60 kilogram lelaki.
Pingat emas pertama Melaka disumbangkan Bryan Ti Kai Jie menerusi acara Nanquan lelaki dan disusuli kejayaan Tan Pei Ler dalam Nanquan wanita.
Selepas itu, Wong Kai Xin menghadiahkan kilauan pingat emas ketiga dan keempat Melaka menerusi acara Daoshu dan Gungshu wanita, selain Bryan Ti Kai Jie turut menambah pingat emasnya pada temasya kali ini menerusi acara Nandao lelaki.
Selepas berakhir saingan wushu semalam, kontinjen Melaka meraih keseluruhan tujuh pingat emas, empat perak dan lima gangsa.
Keputusan itu, sekali gus menyaksikan Melaka muncul juara keseluruhan bagi acara wushu pada temasya kali ini.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang mewakili Kerajaan Negeri Melaka sempat bertemu dengan atlet wushu yang berjaya mengharumkan nama negeri Melaka.
Pada pertemuan itu, beliau turut menyampaikan ucapan tahniah daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.






