
SELEPAS dua minggu berhempas pulas membantu calon bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, Gua Musang, malam ini semuanya selesai dengan penuh tertib.
Ada antaranya akan pulang dan tidur lena, manakala sebahagian lagi tetap boleh tidur macam biasa, cuma ditemani pelbagai soalan yang tidak ada jawapan salah atau betul.
Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Barisan Nasional (BN) dalam PRK kali ini sudah menang dan dipilih secara majoriti oleh pengundi Nenggiri.
Manakala Ustaz Wadi atau Mohd Rizwadi Ismail pula sudah mempamerkan semangat luar biasa sepanjang 14 hari lalu bersama jentera kempen Perikatan Nasional (PN).
Dan apabila keputusan rasmi sudah diumumkan, seperti biasa akan berlaku cakap-cakap politik yang berterusan.
Memang orang kita suka berpolitik, bukan hanya dalam bab politik kepartian, bab nak makan dan pilih kedai untuk menjamu selera pun ada politik juga.
Sepatutnya dalam hal politik ini, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa yang tidak bersefahaman dengan kita.
Kalau semua mempunyai persefahaman yang sama, maka tidak perlulah kita bersusah payah berkempen dari rumah ke rumah setiap kali berlaku pilihan raya.
Atau mengadakan ceramah mega atau ‘flash mob’ atau apa sahaja yang berniat untuk meraih sokongan.
Walaupun kemenangan Mohd Azmawi Fikri atau Awie ini boleh dikatakan tidak mengejutkan, namun majoriti undi diperoleh adalah jauh daripada jangkaan.
Kerusi ini pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos tahun lalu dimenangi PN dengan majoriti 810 undi sahaja.
Jadi, jangkaan asal pun – kalau Awie menang – jumlah majoriti mungkin bawah 1,000 undi.
Tapi itulah kuasa yang ada pada 20,259 pengundi Nenggiri.
Mereka menunjukkan siapa ‘boss’ sebenar dan akhirnya memberikan Awie majoriti 3,355 undi!
Bagi Ketua Operasi PRK Nenggiri untuk PN, Tan Sri Annuar Musa, beliau melalui satu hantaran di Facebook seperti mendakwa berlaku sogokan kepada ‘pengundi putih’ gabungan parti itu.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu menyertakan beberapa keping gambar pada hantaran berkenaan, dengan gambar sampul bersama sejumlah wang.
Adakah Annuar menganggap semua ‘pengundi putih’ itu adalah penyokong PN atau mereka sebenarnya pengundi atas pagar?
Bolehkah kita katakan semua ‘pengundi putih’ itu adalah secara mutlak menyokong parti yang kita wakili?
Jika dilihat kepada jumlah majoriti diperoleh Awie, rasanya ia bukan isu ‘pengundi putih’ tidak keluar.
Cuma lebih jelas jika dikatakan ‘pengundi putih’ yang tidak keluar itu sebenarnya pengundi atas pagar yang sebelum ini memilih PN, namun dalam PRK kali ini mereka mengundi calon BN.
Peralihan sokongan ini perlu dilihat oleh semua parti sebagai langkah strategik oleh pengundi yang semakin matang.
Ini bukan soal agama atau bangsa, tapi soal kredibiliti dan membina semula keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.
Dan biarlah rakyat merasakan bahawa mereka adalah ‘raja’ dan wakil rakyat itu adalah ‘hamba’ untuk mereka.
Jika gagal memenuhi keperluan rakyat atau pengundi di Nenggiri, tidak pelik kalau wakil rakyat itu hanya akan bertahan satu penggal sahaja.









