
GUA MUSANG – Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri disifatkan sebagai bukti rakyat mahukan parti itu.
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Dr Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kemenangan bergaya itu sekaligus turut menyaksikan gelombang kebangkitan anak muda dan Melayu.
“Kemenangan ini merupakan kebangkitan gelombang anak muda, anggaplah ini sebagai permulaan perjuangan kita dan perjuangan yang telah kita titipkan ini bukan hanya di Kelantan tetapi akan ke seluruh negara selepas ini.
“Jika ada yang kalau ada yang mengatakan kedudukan UMNO ditolak Melayu dan mengatakan anak muda tidak bersama kemenangan ini kita buktikan bukan sahaja anak muda tetapi seluruh rakyat,” katanya.
Calon BN, Mohd Azmawi berjaya merampas kembali kerusi DUN Nenggiri apabila berjaya menewaskan calon PN, Rizwadi Ismail dengan majoriti 3,352 undi.
Keputusan itu menyaksikan kerusi yang disandang Perikatan Nasional (PN) dirampas dengan majoriti yang lebih besar sekaligus membuktikan rakyat mahukan BN menerajui Nenggiri.









