
ALOR SETAR – Sekretariat Suara Anak Kedah hari ini menyerahkan memorandum menuntut tindakan segera kerajaan negeri berhubung 10 isu utama yang didakwa gagal ditangani di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Penyerahan memorandum berlangsung dalam Himpunan ‘Honggaq Kedah’ yang menghimpunkan kira-kira 70 peserta di hadapan Wisma Darul Aman.
Memorandum bertajuk 10 Kegagalan Isu Utama Rakyat Kedah itu antara lain menggariskan kegagalan pentadbiran negeri dalam soal peluang pekerjaan, pelancongan, alam sekitar, pembangunan seimbang, isu judi, pemberian geran tanah, pelaburan swasta, penjaja kecil dan pembalakan.
Memorandum itu diserahkan sendiri oleh Pengarah Sekretariat Suara Anak Kedah, Sulaiman Ibrahim, kepada Ketua Kerani Pejabat Menteri Besar, Mohd Zohir Md Rejab.
Beliau berkata sekretariat itu menegaskan rakyat kecewa dengan slogan ‘The Greatest Kedah’ yang didakwa tidak membawa manfaat sebenar kepada kesejahteraan rakyat, sebaliknya hanya menjadi retorik politik.
Katanya, antara kegagalan yang dibangkitkan ialah kadar pengangguran tinggi dengan lebih 100,000 anak muda Kedah masih tidak mempunyai pekerjaan meskipun kerajaan negeri mendakwa membawa masuk pelaburan besar.
“Sektor pelancongan turut menjadi sorotan apabila fasiliti di lokasi utama didakwa terbiar, tahap kebersihan lemah, manakala Langkawi gagal menjana limpahan ekonomi secara menyeluruh kepada penduduk setempat.
“Memorandum ini juga menuntut penutupan segera kuari di Gunung Pulai dan Gunung Baling kerana beroperasi berhampiran penempatan penduduk serta dikatakan menjejaskan kesihatan, keselamatan dan biodiversiti,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum berkenaan hari ini.
Sulaiman berkata, sekretariat turut mengecam tumpuan pembangunan hanya di Kulim melalui projek Kulim Hi-Tech Park dan mendakwa daerah pedalaman seperti Baling, Sik, Padang Terap, Pendang dan Yan terus dipinggirkan.
Dalam isu sosial katanya, memorandum berkenaan mendesak kerajaan negeri memperketatkan hukuman terhadap kegiatan judi termasuk menaikkan kadar denda sehingga RM50,000 serta mengisytiharkan Kedah sebagai negeri bebas judi menjelang 2027.
“Isu pemberian geran tanah juga dipercayai wujud risiko kronisme dan nepotisme selain kenaikan premium yang membebankan rakyat kecil dan kami mendesak siasatan segera oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sekretariat turut mempersoalkan status projek pelaburan swasta berimpak tinggi yang diumumkan sebelum ini dan mendakwa gagal dilaksanakan sepenuhnya sehingga menafikan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut mahu nasib penjaja kecil dibela dan mendakwa kerajaan negeri tidak menyediakan tapak tetap, kemudahan asas dan sokongan logistik, menyebabkan ramai golongan kecil terus terpinggir.
Dalam isu pembalakan, katanya, sekretariat mendakwa aktiviti tidak terkawal boleh mengundang risiko banjir dan tanah runtuh, sekali gus menuntut siasatan telus serta tindakan tegas termasuk melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Sulaiman berkata, memorandum itu bukan bertujuan menjatuhkan Menteri Besar, sebaliknya memberi ruang kepada rakyat menuntut penjelasan serta tindakan konkrit.
Katanya, sekretariat memberi tempoh seminggu hingga dua minggu kepada Menteri Besar untuk memberikan maklum balas terhadap memorandum yang dihantar.
“Kita mahu jawapan rasmi sama ada di Sidang DUN atau sidang media. Selepas itu kita akan membuat maklum balas semula kepada media supaya rakyat mendapat penjelasan tepat.
“Kita juga beri masa dua tahun kepada kerajaan negeri melaksanakan janji berkaitan isu yang dibangkitkan, manakala dalam tempoh satu tahun kita akan kumpulkan bukti tambahan untuk menilai prestasi kerajaan negeri,” katanya.
Menurut beliau sekiranya kerajaan negeri gagal memberi maklum balas, sekretariat tidak teragak-agak untuk membawa isu ini ke akar umbi dan meningkatkan tekanan melalui suara rakyat bawahan.







