
LAHAD DATU – Barisan Nasional (BN) membuat cabaran terbuka terhadap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya agar bertanding semula di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membuktikan sama ada rakyat memilih beliau kerana peribadinya atau kerana parti yang mengangkatnya.
Ketua Penerangan BNCOM Lahad Datu, Muhamad Gadzali Said berkata, Shahelmey bukanlah pejuang mandat rakyat, sebaliknya hali politik yang digantung partinya sendiri (BN) kerana mengkhianati prinsip kesetiaan dan tampil di pentas politik tanpa rasa bersalah.
“Dalam dunia politik moden, mandat rakyat tidak pernah terpisah daripada mandat parti dan Shahelmey boleh mendabik dada, tetapi kebenaran tetap sama iaitu tanpa BN, nama beliau hanyalah nota kecil di Tanjung Keramat.
“Maka saya cabar beliau untuk bertanding semula di kerusi itu dengan tiket GRS agar ditentukan sama ada rakyat benar-benar memilih Shahelmey atau mereka memilih kerana parti yang mengangkatnya,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Dalam pada itu, Gadzali menyentuh berkenaan rakaman video tular yang turut memalitkan Shahelmey selain menyifatkannya sebagai liabiliti politik dan bukan wira mandat rakyat.
“Sama ada beliau mahu menafikan atau berdolak-dalik, hakikatnya persepsi rakyat telah terbentuk, seorang menteri yang gagal memikul amanah rakyat dan dalam masa yang sama merosakkan maruah kerajaan dengan imej buruk,” katanya.
Beliau turut membidas kegagalan Shahelmey sepanjang menerajui Kementerian Kerja Raya Sabah yang masih belum menyelesaikan isu insfrastruktur rakyat.
“Jalan raya yang rosak masih belum diperbaiki, bekalan air masih belum stabil, masalah elektrik masih menghantui bukan sahaja kawasan pedalaman malah dikawasan bandar juga sering terputus bekalan elektrik.
“Semua ini adalah tanggungjawab asas seorang menteri, tetapi Shahelmey gagal melaksanakan amanah tersebut.
“Inilah kebenaran yang rakyat Sabah perlu tahu, Shahelmey tidak pernah menjadi simbol perjuangan sebaliknya simbol kelemahan seorang ahli politik yang menukar prinsip dengan jawatan, menukar perjuangan dengan kedudukan dan menukar harapan rakyat dengan kepentingan diri,” tambahnya.





