
KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan harga telur kekal berpatutan dan bekalan mencukupi di seluruh negara susulan penarikan subsidi pada 1 Ogos lepas.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan.
Jelasnya, pada Jumaat, beliau mengadakan sesi turun padang ke ladang telur ayam iaitu STF Agriculture Sdn. Bhd. di Tamparuli bagi tujuan penguatkuasaan dan advokasi.
“Ia bertujuan untuk melihat bagaimana pengeluaran telur ayam dan kemungkinan bagaimana kos pengeluaran itu akan ada kesan kepada harga ayam selepas penarikan subsidi 1 Ogos baru-baru ini.
“Kita juga kaji berkenaan dengan import, barang-barang yang diimport seperti makanan ayam, vitamin ayam dan sebagainya kos pengangkutan yang melibatkan mungkin ada kesan kepada harga runcit telur ayam nanti di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa dalam sidang media Sesi Libat Urus Kajian Semula Pelan Induk Perdagangan 2025-2035 dan Semakan Semula Perundangan E-Dagang, di Hotel Le Meridien, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sesi tersebut bertujuan memastikan bahawa penarikan subsidi telur tidak mengakibatkan sebarang aktiviti pencatutan harga.
“Punca kuasanya ialah berkenaan dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) dan kita mahu memastikan bahawa tidak ada pencatutan berlaku dalam keadaan subsidi telur ayam itu tiada lagi,” katanya.
Tegas Fuziah, KPDN tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan akta ini demi melindungi kepentingan dan kebajikan rakyat.
KPDN akan terus komited memastikan setiap pemain industri mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna serta menjamin ketelusan dalam rantaian bekalan makanan negara.





