
KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencadangkan satu undang-undang baharu bagi mengawal selia ekosistem e-dagang negara dan memperkukuh perlindungan kepada pengguna.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, langkah ini bertujuan untuk mengemas kini undang-undang sedia ada bagi memastikan dasar dan peraturan kekal relevan dan berkesan dalam mengawal selia ekosistem digital yang berkembang pesat.
“Penambahbaikan ini penting bagi memastikan dasar serta peraturan semasa mampu menampung perubahan landskap perniagaan dalam talian yang semakin dinamik.
“Di samping memperkukuh perlindungan kepada pengguna yang kini berdepan pelbagai cabaran dan risiko dalam urus niaga digital seperti penipuan, penjualan produk tidak selamat, serta kekangan penguatkuasaan rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Sesi Libat Urus Kajian Semula Pelan Induk Perdagangan 2025-2035 dan Semakan Semula Perundangan E-Dagang, di Hotel Le Meridien, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata, objektif utama sesi libat urus ini termasuklah mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada pemegang taruh mengenai keperluan semakan undang-undang sedia ada.
Tambahnya, sesi libat urus ini turut membentangkan dapatan kajian dan hala tuju cadangan undang-undang e-dagang baharu.
“Selain itu, ia turut menilai keberkesanan pelaksanaan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 yang baharu dipinda serta meningkatkan kesedaran mengenai jurang kawal selia dan keperluan perundangan yang lebih mantap,” ujarnya.
Sebagai rekod, sesi libat ini melibatkan pelbagai pemegang taruh dalam ekosistem e-dagang, termasuk wakil industri, platform digital, persatuan peniaga, pertubuhan perlindungan pengguna, wakil kementerian dan agensi, pakar perundangan serta ahli akademik.





