
PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa tema “Melakar Semula Pembangunan” ke arah mempercepat reformasi, memacu kemakmuran dsambut baik oleh pemimpin dan masyarakat.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pembentangan itu hadir pada saat negara memerlukan arah baharu yang lebih jelas untuk keluar daripada perangkap ketidaksamarataan, ketirisan dan kebergantungan berlebihan kepada sistem lama yang tidak lagi berkesan.
Katanya, RMK13 menampilkan kerangka dasar yang menyeluruh dengan menyentuh lima teras penting iaitu ekonomi rakyat, kemampanan, transformasi pentadbiran, modal insan, pembangunan wilayah dan luar bandar.
Ini memberi isyarat bahawa Kerajaan Perpaduan memahami realiti semasa rakyat dan cuba menanganinya secara sistematik.
“Namun kita semua sedar sehebat mana pun rancangan yang dirangka, kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan .
“RMK13 tidak boleh menjadi sekadar dokumen cantik di atas kertas. Ia mesti hidup dan bernafas dalam bentuk pelaksanaan yang adil, cekap,telus dan penuh berintegriti.
“Sejarah negara mengajar kita bahawa banyak dasar yang baik akhirnya gagal kerana ketirisan, birokrasi dan kelemahan pelaksanaan,” katanya.
Pembentangan RMK13 ini telah membuka banyak ruang dan peluang kepada rakyat terutamanya golongan B40, M40, anak muda, peladang, penjawat awam/swasta dan usahawan kecil.
Jelasnya lagi, RMK13 menyediakan pelbagai ruang dan peluang daripada latihan kemahiran (TVET), keusahawanan digital ,bantuan bersasar, perumahan hinggalah peluang pekerjaan dalam ekonomi hijau dan sektor teknologi.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil inisiatif menyertai program pembangunan diri dan ekonomi yang diumumkan khususnya anak muda, belia desa dan wanita.
“Bersikap proaktif dalam mendapatkan maklumat dan peluang melalui saluran rasmi dan agensi kerajaan.
“Mengukuhkan perpaduan dan menolak suara perpecahan kerana kejayaan RMK13 memerlukan kestabilan politik dan sosial,” katanya.
Mahfuz berkata, RMK13 bukan hanya untuk kerajaan melaksana tetapi ianya memerlukan rakyat sebagai rakan pelaksana.
Menurutnya, tiada perubahan boleh berlaku tanpa penyertaan aktif rakyat sendiri.
“Saya menggesa kerajaan untuk mewujudkan sistem pemantauan pelaksanaan RMK13 yang mantap dan telus termasuk laporan berkala kepada Parlimen dan rakyat.
“Pastikan pelaksanaan dasar tidak disebotaj oleh kelemahan struktur sedia ada sama ada birokrasi lambat dan ketirisan projek.
“Memberi perhatian serius kepada isu pemilikan rumah anak muda dan ketidaksamaan wilayah terutama di Sabah, Sarawak dan luar bandar semenanjung,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Sabah, Sarawak dan luar bandar semenanjung mesti menjadi penerima manfaat utama RMK13 bukan hanya pelengkap statistik.
RMK13 ialah peluang penting untuk membina Malaysia yang lebih adil, makmur, dan tahan uji.
Ia merupakan rangka besar yang memerlukan pelaksanaan jujur, pemantauan ketat dan penyertaan seluruh rakyat.
Semua pihak mesti bersedia menjadi suara yang menyokong apa yang baik dan menegur apa yang pincang demi masa depan Malaysia yang lebih adil dan sejahtera untuk semua.








