
TAWAU – Sebanyak 26 rumah separuh kekal dan tidak kekal serta sebuah motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau berjaya menyelamatkan kira-kira 1,300 rumah berhampiran daripada turut dijilat api.
Pegawai Operasi BBP Tawau, Madzlan Sharman berkata, sepasukan 39 anggota bersama jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba, operasi pemadaman dimulakan menggunakan satu aliran 300 kaki satu pancutan menerusi pam angkut dengan sumber air terbuka iaitu air laut, serta dua aliran 200 kaki dua pancutan dari jentera Fire Rescue Tender (FRT).
“Pasukan bomba menggunakan teknik ofensif dan defensif bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba.
“Setelah api berjaya dipadamkan sepenuhnya, pemeriksaan dilakukan di sekitar kawasan kebakaran bagi memastikan tiada lagi ancaman bahaya sebelum operasi ditamatkan pada pukul 11.45 pagi,” katanya.




