
JOHOR BAHRU – Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam jelas membuktikan hala tuju Kerajaan MADANI yang komited dalam menaik taraf ekonomi negara.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pimpinan itu jelas memberi fokus untuk memperbaiki kedudukan ekonomi Malaysia melalui paparan kejayaan sepanjang RMK12 dan sasaran bagi tempoh lima tahun dalam RMK13.
“Contohnya sasaran 10 tahun, Ekonomi MADANI ingin menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia. Dan sehingga tahun 2024, Malaysia telah mencapai kedudukan ke-36 ekonomi terbesar di dunia. Ini adalah satu fakta pencapaian yang dapat diukur.
“Dengan membentangkan secara rasmi dan terbuka di Parlimen, jelas Perdana Menteri mahu memberitahu rakyat Malaysia dan dunia termasuklah Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan institusi global bahawa Malaysia ada rancangan yang jelas untuk menuju tahun 2030.
“Misalnya Malaysia ada sasaran ekonomi makro dan dasar meningkatkan darjat hidup rakyat dengan menangani kos sara hidup,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.

Tambah beliau, RMK13 mengandungi pelbagai strategi ekonomi termasuk 10 keutamaan kerencaman ekonomi seperti reformasi industri semikonduktor, pendidikan, pasaran buruh dan peningkatan taraf hidup golongan sasar.
“Dalam setiap inisiatif dan dasar lima tahun yang akan datang, dokumen RMK13 dengan jujur dan telus boleh disemak serta diteliti pencapaiannya melalui perbandingan bersama RMK12 di mana Kerajaan MADANI telah pun mentadbir negara mulai November 2022.
“Malah, turut dilakar dalam RMK13 ialah dasar lima tahun akan datang untuk kerajaan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Sebagai contoh dinyatakan sasaran kerajaan bagi tahun 2030 ialah 500,000 unit rumah mampu milik siap dibina.
“Namun, sehingga Mac 2025 hanya 179,769 unit rumah mampu milik siap dibina. Ini bermakna kerajaan menyedari banyak yang perlu dilakukan lagi untuk mereformasikan perumahan negara dalam tempoh RMK13,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membandingkan pembentangan dasar RMK13 oleh Perdana Menteri dengan desakan sebahagian rakyat yang turun ke jalanan pada 26 Julai lalu.
“Lima hari selepas demonstrasi yang menuntut PM turun, beliau tampil di Parlimen membentangkan dasar ekonomi negara secara lengkap dan menyeluruh.
“Persoalannya, setelah mendengar Datuk Seri Anwar membentangkan RMK13 itu di Parlimen, adakah wajar lagi untuk rakyat menuntut beliau turun sedangkan dialah orang yang diharapkan untuk menerajui dan melaksanakan cita-cita yang terkandung dalam RMK13 tersebut?”
Justeru, Hassan menyeru rakyat untuk memberi ruang kepada Kerajaan MADANI meneruskan agenda reformasi seperti terkandung dalam dokumen RMK13 yang menyeluruh dan boleh diukur secara objektif dalam tempoh lima tahun akan datang.







