PUTRAJAYA – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan bukan sahaja dilihat sebagai kesinambungan dasar, namun juga sebagai sebuah pelan tindakan strategik yang berpandangan jauh dan progresif.
Pensyarah Fakulti Perakaunan, Perniagaan dan Ekonomi, Kolej Universiti i-CATS, Profesor Dr Abu Sofian Yaacob berkata, dasar itu merupakan pelan pembangunan negara yang inklusif dan transformatif, selaras pendekatan menyeluruh yang digariskan Kerajaan MADANI.
Beliau berpandangan, RMK13 dijangka akan menumpukan usaha kerajaan ke arah memperkasa kesejahteraan rakyat, selain peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.
“Langkah kerajaan menggunakan kaedah ekonomi berasaskan penciptaan nilai merupakan langkah kritikal dalam memperkasa daya saing negara serta dapat melonjakkan Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.
“Pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti bernilai tinggi perlu dipacu jika mahu mencapai status negara maju. Malaysia sudah terlalu lama duduk dalam negara berpendapatan sederhana tinggi. Sudah masanya kita memperkukuh inovasi, teknologi dan ekonomi digital, bukan lagi bergantung kepada kos buruh yang rendah,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan menyediakan sejumlah RM611 bilion bagi menjayakan pelan pembangunan antara 2026 hingga 2030 di bawah RMK13.
Daripada jumlah itu, katanya RM430 bilion bagi peruntukan pembangunan, pembiayaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebanyak RM120 bilion serta RM61 bilion melalui kerjasama awam-swasta (PPP).
Anwar memaklumkan, RM227 bilion diperuntukkan pula untuk sektor ekonomi; RM133 bilion bagi sektor sosial seperti pendidikan (RM67 bilion) dan kesihatan (RM40 bilion); RM51 bilion untuk keselamatan; manakala RM17 bilion bagi pentadbiran.
Dengan sasaran pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, kerajaan menyasar Malaysia muncul negara berpendapatan tinggi dan berada dalam kelompok 30 ekonomi utama dunia menjelang 2030.

Mengulas lanjut, Abu Sofian berkata, kaedah penciptaan nilai memiliki kemampuan memperkasa taraf hidup masyarakat serta memastikan daya tahan ekonomi, kelestarian fiskal dan kemakmuran menyeluruh kepada orang ramai.
“Pendekatan terbabit diyakini mampu menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi melalui penekanan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D), automasi, serta pembangunan kepakaran dan industri berteknologi tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi & Kewangan UiTM, Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, sasaran kerajaan yang mahu menghasilkan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun dalam RMK13 dilihat mampu dicapai kerajaan.
Katanya, perkara itu mampu direalisasikan, khususnya dengan fokus kepada permintaan domestik yang kukuh, selain Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh, dengan sektor pengguna dan pelaburan swasta yang semakin pulih pascapandemik.
“Projek-projek infrastruktur yang besar serta mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pelaburan hijau sudah pastinya akan memberi suntikan positif kepada KDNK.
“Kemampuan atau daya tahan ekonomi domestik disokong oleh dasar fiskal yang proaktif, peningkatan pelaburan dalam sektor teknologi tinggi, serta permintaan yang stabil daripada sektor perkhidmatan dan pembuatan,” katanya.





