PUTRAJAYA – Sidang Dewan Rakyat bergema dengan laungan ‘Kekal Anwar’ sejurus Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), hari ini.
Beberapa Ahli Parlimen dilihat melaungkan slogan tersebut sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng menangguhkan sesi persidangan kepada Isnin depan.
Laungan itu dipercayai sebagai reaksi balas terhadap teriakan ‘Turun Anwar’ yang menjadi antara agenda himpunan aman anjuran pembangkang Sabtu lalu.
Himpunan yang berlangsung di ibu negara itu difahamkan bertujuan mendesak perubahan kepimpinan negara.
RMK13 itu dibentangkan Perdana Menteri merangkumi pelan pembangunan menyeluruh termasuk peruntukan pelaburan, kadar gaji minimum, peluasan hasil cukai, serta insentif perlindungan sosial dan faedah kepada rakyat.








