BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Terbuka Jepun selepas tewas di tangan pasangan Liu Sheng Shu-Tan Ning di Tokyo, hari ini.
Persembahan pasangan nombor tiga dunia itu serba tidak menjadi apabila tewas dalam saingan straight set pada aksi final kejohanan berstatus Super 750 tersebut.
Dalam aksi di Gimnasium Metropolitan, Pearly-Thinaah bermula hambar apabila tewas set pertama 15-21 di tangan pasangan nombor satu dunia itu.
Mereka cuba bangkit memperkemaskan corak permainan, namun pengalaman menjadi pemisah apabila Sheng Shu-Tan Ning mengesahkan kemenangan 21-14 dalam masa 45 minit permainan.
Biarpun terlepas gelaran kedua musim ini, hadiah wang tunai AS$33,250 (RM141,182) sudah memadai bagi Pearly-Thinaah.
Sheng Shu-Tan Ning yang muncul juara membawa pulang ganjaran AS$70,300 (RM298,500).
Keputusan itu menyaksikan Pearly-Thinaah menyamai rekod Chin Eei Hui-Wong Pei Tty yang muncul naib juara pada edisi 2008.






