
COVENTRY City akhirnya kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas 25 tahun apabila mengesahkan ‘kenaikan pangkat’ awal pagi tadi.
Skuad kendalian Frank Lampard mengikat Blackburn Rovers 1-1 di Ewood Park, keputusan yang cukup untuk memastikan promosi automatik dari Liga Kejuaraan.
Coventry hampir dikecewakan apabila ketinggalan menerusi jaringan Ryoya Morishita pada minit ke-54, namun Bobby Thomas muncul wira dengan tandukan penyamaan pada minit ke-84.
Keputusan itu membolehkan The Sky Blues menamatkan kemarau panjang dan kembali ke kelompok elit bola sepak England dengan baki tiga perlawanan musim ini.
“Ia detik yang luar biasa. Inilah makna sebenar bola sepak.
“Datang ke sini dan dapat satu mata pada peringkat musim seperti ini bukan mudah.
“Melakukannya selepas 25 tahun? Wow!” kata Lampard dalam keadaan sebak.
Coventry menguasai carta liga hampir sepanjang musim dan kini turut berpeluang menjulang kejuaraan liga, dengan pencabar terdekat Ipswich Town ketinggalan 11 mata.
Kejayaan ini menjadi kisah kebangkitan hebat buat kelab yang pernah jatuh ke divisyen keempat pada musim 2017-18 dan terpaksa bermain di Northampton serta Birmingham akibat isu stadium.
Lampard pula dianggap pencetus kebangkitan selepas sebelum ini dipecat oleh Chelsea dan Everton.




