
KOTA KINABALU – Sambutan Pesta Kaamatan 2025 merupakan cerminan keharmonian dan semangat muhibbah rakyat Sabah, selaras aspirasi Malaysia MADANI.
Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sambutan ini menekankan nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Sabah.
Tambahnya, ikatan perpaduan akan lebih kuat dan kukuh jika rakyat terus bersatu.
“Saya menyeru kepada rakyat untuk terus bersama kerajaan sebagai rakan kongsi untuk perkuatkan perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kelancaran pembangunan negeri yang tercinta ini.
“Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun pada bulan Mei bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama tetapi juga untuk menyatakan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media perutusan sempena Sambutan Pesta Kaamatan 2025, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Hajiji menyatakan bahawa tema ‘Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan’ menyampaikan mesej yang amat mendalam serta bersifat inklusif.
“Tema ini jelas menyatakan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti, tetapi satu perayaan bersama yang merangkumi semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan, Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada seluruh masyarakat yang meraikannya,” katanya.



