MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memuji komitmen pemain Sri Pahang FC biarpun gagal menjulang Piala Malaysia selepas tewas 2-1 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir malam tadi.
Beliau berharap kekalahan itu tidak mematahkan semangat juang kelab, jurulatih dan pemain skuad Tok Gajah dalam meneruskan saingan Liga Malaysia musim depan.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Sri Pahang FC yang muncul naib juara Piala Malaysia 2024-25 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Semangat ditunjukkan Sri Pahang harus diberi pujian dan saya berterima kasih kepada seluruh pemain, barisan kejurulatihan, pengurusan kelab serta penyokong setia yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.
“Teruskan usaha dan perjuangan. Pahang sentiasa berdiri di belakang Sri Pahang. Hogoh Pahang Hogoh,” katanya menerusi hantaran di Facebook
Dalam aksi final semalam, skuad kendalian Fandi Ahmad mendahului menerusi T Saravanan pada minit ke-14 sebelum Bergson Da Silva meledak penalti pada minit ke-54 dan Arif Aiman Hanapi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-74.




