
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memanggil akhbar Kwong Wah Yit Poh susulan penyiaran gambar Jalur Gemilang tidak lengkap di akaun Facebook rasminya.
MCMC melalui kenyataan malam tadi memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana kandungan terbabit dimuat naik secara dalam talian.
“MCMC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut, sekiranya perlu,” katanya.
Suruhanjaya itu turut memberi amaran tegas kepada semua pihak termasuk media dan orang awam supaya tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh dianggap mempersenda atau memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini.
“MCMC komited memastikan penggunaan media digital kekal tertib serta menghormati simbol-simbol kebangsaan,” katanya.





