
KOTA KINABALU – Hubungan Barisan Nasional (BN) Sabah dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah wajar diharmonikan dahulu sebelum memikirkan strategi menjernihkan hubungan BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, perkara tersebut penting kerana merupakan elemen asas bagi menjayakan kerjasama dengan rakan gabungan lain.
“Saya menganggap pandangan saudara Razeef agak subjektif kerana saya melihat hampir semua parti dalam negeri ini menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Kerajaan Persekutuan termasuk Warisan dan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
“Kenapa tidak kita melihat kepada segala kemungkinan yang boleh membawa kejayaan bersama bagi membangun negeri dan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media bagi mengulas lanjut kenyataan Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin yang mahu BN menjernihkan hubungan dengan GRS bagi mengelakkan PH tersepit menyebabkan gerak kerja Pilihan Raya Negeri (PRN) terjejas.
Terdahulu, Razeef dalam kenyataannya berkata PKR Sabah menyambut baik pengumuman BN Sabah berhubung kerjasama dengan PH yang dilihat seiring dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
Sehubungan itu, Jeffrey yang juga Ketua UMNO Putatan turut mencadangkan agar PH Sabah dan Warisan menjernihkan hubungan di antara mereka kerana sebelum ini mereka sudah terbukti boleh bersama dalam membentuk Kerajaan Negeri dan persekutuan.
“Ini tidak menjadi kesalahan kerana parti tersebut juga menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
“Asasnya perlu diperkukuhkan sebelum memikirkan tindakan yang selanjutnya, kita juga perlu melihat kepada kekuatan parti, isu-isu semasa dan sentimen rakyat Sabah.
“Ini semua berlaku apabila tarikh PRN dan Pilihan Raya UMUM tidak lagi sama, kedinamikan dan kepintaran dalam mencatur strategi politik amatlah dituntut ketika ini.
“Sudah tentu harapan kepada kestabilan dan keharmonian serta perubahan yang diimpikan oleh rakyat Sabah menjadi keutamaan.
“Kita mahu melihat kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan dan perubahan yang drastik kepada semua permasalahan yang sedang berlaku di negeri Sabah ketika ini,” jelasnya.





