
PEKAN – Lebih 570 ayam hidup dan siap diproses seberat 1,412 kilogram (kg) dirampas dalam serbuan Op Salju Mega di sebuah premis beroperasi tanpa lesen di FELDA Chini, di sini, hari ini.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan jam 8 pagi itu, sebanyak 577 ekor ayam bernilai lebih RM16,900 dirampas.
Katanya, lapan lelaki termasuk pengusaha berada di premis berkenaan ketika serbuan dan siasatan mendapati ia beroperasi tanpa lesen sejak dua tahun lalu.
“Pemeriksaan mendapati pemilik premis gagal mengemukakan lesen peniagaan sah daripada pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan aktiviti memproses ayam,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Rampasan membabitkan 217 ayam siap diproses seberat 532 kg dan 360 ayam hidup seberat 880 kg.
Siasatan lanjut mendapati aktiviti penyembelihan dilakukan pekerja yang mempunyai tauliah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pahang.
Serbuan turut disertai kakitangan Majlis Perbandaran Pekan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Kesihatan Pahang.
Ahmad Radzi berkata, pemilik premis dikompaun RM1,000 mengikut Seksyen 6(A), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Pekan) 1991.
“Sebuah lori dan pelbagai peralatan memproses ayam bernilai lebih RM100,000 turut dirampas,” katanya.
Menurutnya, semua ayam itu untuk pasaran tempatan termasuk tempahan individu dan restoran di sekitar FELDA Chini.
“Pengusaha perlu mendapatkan lesen untuk menjalankan aktiviti penyembelihan dan memproses ayam mengikut syarat ditetapkan.
“Aktiviti itu hanya dibenarkan di tempat dikhususkan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan persekitaran terpelihara,” katanya.



