SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, Kerajaan Negeri perlu memperkukuh hubungan serta mempererat jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Baginda bertitah, ia bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan yang berkesan, seterusnya menjamin kesejahteraan masyarakat serta memacu pertumbuhan ekonomi.
Titahnya, Kerajaan Negeri juga perlu terus memperhebat usaha serta merangka perancangan lebih strategik bagi memastikan setiap projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dapat dilaksanakan dengan jaya.
“Sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12, beta menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan bagi kelulusan sebanyak 408 projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM13.56 bilion.
“Pelaksanaan projek ini memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat Beta, termasuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur serta memperkukuh daya saing komuniti secara menyeluruh,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Baginda turut bertitah, Pasar Payang adalah destinasi pelancongan ikonik yang begitu sinonim dengan Negeri Terengganu, selain berperanan sebagai nadi ekonomi serta pusat kebudayaan masyarakat setempat.
“Dengan siapnya projek pembinaan Pasar Payang baharu, kemudahan lebih selesa kini ditawarkan kepada para peniaga untuk memasarkan pelbagai hasil kraf tangan, termasuk songket, batik, serta aneka makanan tradisional yang menjadi kebanggaan negeri.
“Pasar Payang bukan sekadar pusat perdagangan, tetapi juga lambang keunikan dan warisan budaya kita yang perlu terus dipelihara.
“Beta berharap pihak berwajib memainkan peranan sewajarnya dalam memastikan kemudahan disediakan sentiasa diselenggara dengan baik,” titah baginda.





