
KUCHING – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menggesa masyarakat agar tidak memandang ringan isu seksual dalam kalangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan dan menuntut perhatian serius.
Menurut beliau, peranan ibu bapa amat penting dalam mencegah gejala ini bermula dari rumah dengan memastikan kandungan yang ditonton oleh anak-anak sentiasa dipantau.
“Sebagai pemimpin, terutama dalam kementerian yang menjaga hal ehwal wanita dan kanak-kanak, kita perlu bersatu dalam membanteras masalah ini agar ia tidak menjadi norma dalam masyarakat,” katanya.
Nancy menegaskan, pendedahan kepada kandungan tidak bermoral seperti video jelik boleh mendorong kepada perlakuan seksual dalam kalangan individu bawah umur sekiranya tidak diawasi.
“Jangan biarkan anak-anak menonton kandungan jelik. Ibu bapa harus berperanan aktif memantau dan membimbing mereka secara berterusan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 Jalinan Kasih Syawal N4 Pantai Damai pada Sabtu malam.
Sementara itu, statistik yang dibentangkan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat turut menimbulkan kebimbangan apabila menunjukkan peningkatan kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan.
Menurut beliau, sebanyak 252 kes direkodkan sepanjang tahun 2024 berbanding 206 kes pada tahun sebelumnya, menunjukkan trend peningkatan yang tidak boleh diabaikan.
Lebih mengejutkan, jelasnya, 90.98 peratus daripada kes berkenaan melibatkan hubungan suka sama suka antara remaja bawah umur, termasuk kes seawal usia 10 tahun.
“Kebanyakan kes bukan disebabkan paksaan, tetapi berlaku atas dasar persetujuan antara pasangan remaja yang masih di bawah umur,” katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Mohd Yusoff turut mendedahkan ramai mangsa dan pelaku menyimpan bahan pornografi dalam telefon bimbit masing-masing, termasuk remaja perempuan.
Situasi ini, katanya, adalah satu bentuk ‘kecemasan sosial’ yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti konflik keluarga, kurang pengawasan ibu bapa, cinta bawah umur, pengaruh rakan sebaya, kelemahan didikan agama serta penyalahgunaan dadah.
Dalam hal ini, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak sesekali melindungi pelaku jenayah walaupun melibatkan ahli keluarga sendiri.
“Rogol tetap rogol mengikut undang-undang. Jika mangsa berumur bawah 16 tahun, sama ada rela atau tidak, ia tetap jenayah. Jangan normalisasikan atau cuba sembunyikan kes sebegini,” tegasnya.






