
TAWAU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak mempunyai sebarang penglibatan atau campur tangan dalam siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setakat ini SPRM sudah memanggil semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat untuk memperlihatkan video dikaitkan dengan mereka.
“Hasil analisis forensik terhadap lapan video awal mendapati terdapat unsur suntingan dan manipulasi menyebabkan ia tidak layak dijadikan bahan bukti di mahkamah.
“Video terbaharu yang lebih panjang kini sedang dianalisis dengan teliti,” katanya dalam kenyataan media mengulas kenyataan dibangkitkan ADUN Elopura, Calvin Chong berkaitan siasatan SPRM terhadap beberapa ADUN Sabah yang dikaitkan dengan isu pelesenan mineral.
Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah berkata, sebagai kerajaan yang menjunjung prinsip integriti dan tadbir urus yang baik, pihaknya tidak akan melindungi sesiapa jika terbukti bersalah.
“Kita juga tidak akan tunduk kepada tekanan politik atau spekulasi tidak berasas,” tegasnya.
Menurut Nizam, siasatan berkenaan adalah tanggungjawab SPRM iaitu sebuah badan bebas yang diberikan kuasa oleh undang-undang negara ini.
“Biarlah mereka diberi ruang untuk menyempurnakan siasatan tanpa gangguan.
“Saya menyeru semua pihak untuk lebih bertanggungjawab dalam mengulas isu ini dan tidak menjadikan siasatan yang masih berjalan sebagai bahan politik.
“Rakyat Sabah berhak mendapat kepimpinan yang berani, tetapi juga adil dan berprinsip,” ujarnya.





