
TAWAU – Ops Pagar Laut 1/2025 Maritim Malaysia Zon Tawau berjaya merekodkan empat tangkapan kes dengan nilai rampasan hampir RM400,000 membabitkan penyeludupan barang kawalan ke negara jiran.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, sejak dilaksanakan bermula 10 Mac lepas, empat kes yang dicatatkan itu hasil 189 pemeriksaan dan risikan yang dijalankan sekitar perairan Tawau.
Beliau berkata, kesemua kes itu masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Fokus utama operasi ini adalah kemasukan PATI, penyeludupan barang kawalan, kontraban seperti bunga api di persempadanan negara dan kawasan ‘hot spot’.
“Trend pergerakan penyeludupan barangan kawalan ini sebelum ramadan lagi kita (Maritim) tidak bersenang-lenang di laut kerana kita percaya semakin dekat Aidilfitri, semakin banyak barang kita dibawa keluar ke negara jiran.
“Antara barangan yang kita kesan dibawa keluar terutamanya minyak masak, beras, gula dan tong gas LPG,” katanya kepada media dalam Ops Pagar Laut 1/2025 di Perairan Tawau, pada Ahad.

Tegas Shahrizan, Maritim Tawau terus meningkatkan kawalan keselamatan serta operasi di perairan negara terutamanya di Pulau Sebatik yang merupakan pintu sempadan Malaysia-Indonesia.
“Kita percaya sindiket beranggapan penguatkuasaan undang-undang pada musim perayaan longgar dan wujudnya usaha penjenayah rentas sempadan yang cuba menjalankan penyeludupan barang kawalan dan barang terlarang menjelang Aidilfitri.
“Bagaimanapun, 30 pegawai dan anggota ditugaskan setiap hari dan kita kekal dengan tiga aset Maritim yang beroperasi selama 24 jam,” ujarnya.
Mengenai tapak baharu bangunan Maritim Tawau, Shahrizan berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai untuk pembinaan pejabat operasi baharu yang terletak di kawasan berhampiran laut.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi berkenaan pengubahsuaian jeti bagi meletakkan aset-aset Maritim yang dijangkakan siap sepenuhnya pada Jun 2026.
“Peruntukan dari Kementerian Dalam Negeri ini bernilai RM6 juta di mana pengubahsuaian melibatkan struktur jeti dan menambah ‘floating jetty’ yang memberi manfaat pada Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin kerana kita berkongsi jeti yang sama,” katanya.
Selain penguat kuasaan Ops Pagar Laut yang dilakukan bermula pukul 3.30 petang itu, Maritim Tawau juga menyantuni komuniti di perairan dengan pengagihan bubur lambuk.







