
GAZA – Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) mengesahkan bahawa tentera Israel telah melakukan jenayah perang dalam serangan ke atas kemudahan perubatan di Semenanjung Gaza, yang mengakibatkan kematian dan penderitaan puluhan pesakit Palestin.
Dalam laporan terperinci yang diterbitkan pada Khamis, HRW mendedahkan bagaimana tentera Israel menyebabkan kemusnahan besar terhadap pesakit dan petugas perubatan dengan menyekat bekalan asas serta menyerang hospital sepanjang konflik yang berterusan di Gaza.
Selain itu, HRW melaporkan bahawa tentera Israel menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 84 pesakit Palestin dengan menyekat akses kepada bekalan penting seperti elektrik, air, makanan, dan ubat-ubatan.
Organisasi hak asasi manusia itu turut mengecam sekatan ketat Israel ke atas hospital di Gaza, yang menghalang ambulans serta bekalan perubatan daripada sampai ke pusat rawatan.
Akibatnya, rawatan perubatan menjadi amat terbatas, menyebabkan pesakit yang memerlukan penjagaan rapi, seperti kanak-kanak yang menjalani dialisis, gagal mendapat bantuan yang diperlukan dan akhirnya meninggal dunia.
Sebagai rekod, laporan ini dihasilkan berdasarkan temu bual dengan sembilan pesakit dan dua petugas kesihatan yang berada di tiga hospital Gaza semasa serangan udara dan pendudukan Israel iaitu Kompleks Perubatan al-Shifa, Gaza City (November 2023 dan Mac 2024), Hospital Kamal Adwan, Beit Lahia (Januari 2024) dan Kompleks Perubatan Nasser, Khan Younis (Februari 2024).
Kesaksian mereka memberikan gambaran mengerikan tentang penderitaan pesakit dan kakitangan perubatan akibat kepungan dan serangan tentera Israel.
Dr. Khalif Abu Samra, seorang petugas kesihatan di Hospital al-Shifa, menceritakan bagaimana beliau menyaksikan seorang pesakit terputus daripada alat bantuan pernafasan kerana kekurangan bekalan elektrik.
Insiden ini menunjukkan betapa seriusnya impak sekatan Israel, di mana pesakit yang sepatutnya boleh diselamatkan akhirnya maut kerana ketiadaan sumber perubatan.
Selain daripada pemotongan elektrik, HRW turut melaporkan bahawa tentera Israel menyekat penghantaran bekalan perubatan dan menghalang ambulans daripada memasuki hospital.
Akibatnya, ramai pesakit, terutamanya mereka yang mengalami kecederaan parah atau memerlukan dialisis, gagal menerima rawatan dan meninggal dunia.
HRW turut menegaskan bahawa tentera Israel secara langsung menyasarkan pesakit dan petugas perubatan.
Saksi melaporkan bahawa tentera Israel menembak pesakit dan kakitangan hospital yang cuba melarikan diri, termasuk mereka yang berada di atas kerusi roda atau pengusung.
Hospital telah dipaksa dikosongkan tanpa sebarang bantuan kepada pesakit yang tidak dapat bergerak sendiri malah terdapat juga kes-kes penyeksaan dan ancaman terhadap petugas kesihatan oleh tentera Israel.
Menurut HRW, tindakan ini merupakan pelanggaran serius terhadap Konvensyen Geneva, yang menetapkan bahawa hospital dan petugas perubatan harus dilindungi daripada serangan.
Laporan itu menyimpulkan bahawa tindakan tentera Israel terhadap hospital di Gaza secara jelas merupakan jenayah perang kerana mereka dengan sengaja menyerang fasiliti perubatan dan menghalang rawatan kepada pesakit yang cedera.
Salah satu insiden paling dahsyat berlaku pada 13 Oktober 2023, apabila tentera Israel mengeluarkan arahan pengusiran besar-besaran di utara Gaza, termasuk di Hospital al-Shifa, yang merupakan hospital terbesar di Palestin.
Walaupun tiada laluan pemindahan yang selamat, tentera Israel memaksa ribuan pesakit dan orang awam melarikan diri, sekaligus meletakkan mereka dalam bahaya maut.
Ridana Zukhra, seorang wanita Palestin berusia 23 tahun, ditembak oleh kereta kebal Israel semasa cuba melarikan diri bersama keluarganya, anak perempuannya yang berusia lima tahun cedera parah dan kehilangan sebelah kaki akibat serangan itu.
Pada hari sama, serangan udara Israel turut menyasarkan ambulans yang sedang memindahkan pesakit, menyebabkan 21 kematian, termasuk lima kanak-kanak.
Antara 11 hingga 17 November 2023, tentera Israel mengepung Hospital al-Shifa yang ketika itu menempatkan kira-kira 600 pesakit, termasuk bayi pramatang dan dialisis, disebabkan sekatan tersebut, 40 pesakit maut kerana kekurangan rawatan.
Pada 15 November, tentera Israel menyerbu hospital tersebut dan memaksa pesakit yang berada dalam keadaan koma atau kritikal untuk berpindah, tanpa menyediakan alternatif rawatan yang sesuai. Akibatnya, beberapa pesakit meninggal dunia akibat kekurangan penjagaan selepas dipindahkan secara paksa.
Seterusnya, apabila tentera Israel berundur dari Hospital al-Shifa pada April 2024, selepas dua minggu kepungan berdarah, hospital tersebut musnah hampir sepenuhnya.
Kesannya, ratusan mayat ditemui berselerakan di dalam kompleks hospital, keluarga mangsa terpaksa menggali kubur sementara di halaman hospital kerana tanah perkuburan telah penuh malah tentera Israel juga dilaporkan mengebumikan beberapa mangsa dalam kubur besar semasa serangan berlangsung.
Walaupun Israel mendakwa serangan terhadap hospital di Gaza bertujuan menumpaskan kumpulan bersenjata Palestin, HRW menegaskan bahawa tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaan ini.
HRW menegaskan bahawa serangan Israel ke atas hospital, kakitangan perubatan, dan pesakit merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang.







