Adaptasi AI, kebun sayur hidroponik pertama dalam ‘mall’ di Sabah

KOTA KINABALU – Inovasi Kecerdasan Buatan (AI) membawa revolusi dalam pertanian hidroponik moden dengan kemunculan A Leaf, kebun sayur pertama dalam pusat membeli-belah di Sabah.

Terletak di Jesselton Mall, kebun hidroponik moden ini membekalkan sayur-sayuran segar kepada hotel, restoran dan pelanggan individu seterusnya menjadikannya penyelesaian inovatif dalam industri pertanian bandar.

Pengasas dan Pengarah Urusan A Leaf, Cornelius Chong, 26, yang berjaya membawa konsep ‘Indoor Farming’ ke Sabah.

Kebun hidroponik moden membawa revolusi dan impak yang besar dengan menggunakan AI sebagai satu pengadaptasian teknologi ke dalam bidang pertanian.

Bermula dari Krisis COVID-19

Segalanya bermula sewaktu pandemik COVID-19 melanda, ribuan tan sayur-sayuran terpaksa dibuang di Kundasang akibat masalah logistik.

Keadaan ini membuka mata Cornelius tentang keperluan sistem pertanian yang lebih cekap dan mampan.

“Saya ada melihat berita, lebih kurang 5,000 tan sayur terpaksa dibuang. Dari situ, saya mula buat penyelidikan tentang hidroponik,” kongsinya.

Pada awalnya, dia mencuba menanam sayur secara hidroponik di rumah hijau, namun masalah perosak dan penggunaan racun bukan organik menjadi cabaran utama.

Akhirnya, dia beralih kepada ‘Indoor Farming’, yang membolehkannya mengawal persekitaran tanaman dengan lebih baik tanpa perlu bergantung kepada racun.

Pusat beli-belah lokasi strategik

Keputusan untuk membuka ladang hidroponik dalam pusat membeli-belah mungkin kelihatan luar biasa, tetapi bagi Cornelius, ini adalah strategi terbaik.

“Saya mahu lebih dekat dengan pelanggan. Mereka boleh lihat sendiri proses kami menanam sayur dan membelinya terus dari ladang kami.

“Selain itu, ia juga mengurangkan kos penghantaran jika dibandingkan dengan operasi di luar bandar,” jelasnya.

Tambahan pula, permintaan terhadap sayur segar dari hotel dan restoran di Kota Kinabalu semakin meningkat, menjadikan lokasi ini pilihan yang strategik.

Teknologi, sistem hidroponik yang digunakan

Di A Leaf, sistem yang digunakan dikenali sebagai ‘Indoor Hydroponics’.

Teknologi ini memerlukan penggunaan pendingin hawa, sistem penapisan udara (HEPA filters), serta lampu LED khas untuk memastikan pertumbuhan tanaman dalam persekitaran terkawal.

Cornelius memfokuskan kepada tanaman seperti lettuce, sawi dan pakcoy yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan.

“Dengan sistem ini, kita boleh mengawal kadar pertumbuhan tanaman dan memastikan hasil yang konsisten sepanjang tahun,” katanya.

Permintaan pasaran dan cabaran yang dihadapi

Walaupun konsep Indoor Farming semakin popular, masih ramai pelanggan yang belum memahami sepenuhnya teknologi ini.

Untuk mengatasi masalah ini, A Leaf bakal melancarkan program Local Farming Experience untuk pelanggan boleh datang dan belajar sendiri proses hidroponik berfungsi.

Namun, operasi dalam bangunan juga mempunyai cabaran tersendiri.

“Kos elektrik adalah faktor utama kerana sistem ini memerlukan bekalan tenaga tanpa henti.

“Kalau elektrik terputus selama enam hingga sepuluh jam, sayur boleh rosak.

“Sama juga seperti hidroponik luar yang bergantung kepada pam air,” tambahnya.

Pendapatan dan potensi masa depan

Dengan kapasiti 5,000 hingga 8,000 pokok sebulan, A Leaf mampu menjana pendapatan sehingga RM40,000 bergantung kepada harga jualan.

Permintaan dari hotel dan restoran semakin meningkat, terutamanya dengan pertumbuhan industri pelancongan di Sabah.

“Hotel guna lettuce setiap hari seperti sarapan, buffet dan a la carte. Jadi, selagi ada pelancong, selagi itu ada permintaan,” ujarnya.

Dari China ke Kota Kinabalu, Inovasi AI dan inspirasi

Latar belakang pendidikan Cornelius dalam ekonomi digital Universiti di China memberikannya kelebihan dalam mengadaptasi teknologi canggih dalam pertanian.

Beliau turut meneroka potensi AI dalam meningkatkan kecekapan operasi.

“AI boleh membantu mengesan penyakit tanaman melalui imej, selain membantu menguruskan ladang berskala besar,” katanya.

Beliau juga sedang membangunkan AI Agent untuk membantu dalam pemprosesan pembayaran dan interaksi pelanggan.

“Kegunaan AI Agent adalah dari proses penanaman, ke penjualan dan ‘Customer Service Chatbot’ untuk berinteraksi dengan pelanggan,” ujarnya.

Perkembangan dan latihan kepada komuniti

Bagi mereka yang berminat untuk menanam sayur di rumah, A Leaf menawarkan tiga produk utama.

Pertama, pembelian terus membolehkan pelanggan membeli sayur segar dengan harga RM9.90 setiap satu.

Kedua, menggunaman kit hidroponik rumah.  Pelanggan boleh menanam sayur sendiri di rumah.

Manakala ketiga iaitu program sewaan ladang dengan menyewa ruang, menanam sendiri sayur mereka dan menerima notifikasi mingguan tentang status tanaman.

Dalam pada itu, Cornelius berkata A Leaf berkembang tanpa bantuan kerajaan kerana beliau percaya bahawa jika model perniagaannya kukuh, ia mampu berdiri sendiri.

“Ini semua dari saya. Saya mahu buktikan kerana jika model perniagaan bagus, ia pasti boleh bertahan.

“Tapi saya percaya jika saya mempunyai bantuan, saya boleh meneruskannya dengan lebih baik,” kongsinya lagi.

Related Posts

e-Invois bantu tingkat pematuhan, kukuhkan kutipan cukai

PUTRAJAYA – Pelaksanaan e-Invois merupakan antara langkah strategik dalam memperkukuh sistem percukaian negara, selain menyokong pendigitalan ekosistem perniagaan ke arah pengurusan transaksi yang lebih cekap, sistematik dan telus. Bagaimanapun, peralihan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
1,200 jerami gulung terbakar dalam gudang MADA

JITRA – Sebuah gudang yang menyimpan kira-kira 1,200 jerami gulung dan peralatan elektrik musnah dalam kebakaran di Pertubuhan Peladang Kawasan C2 Kerpan, Kampung Tempayan Pecah di Ayer Hitam, dekat sini…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

e-Invois bantu tingkat pematuhan, kukuhkan kutipan cukai

e-Invois bantu tingkat pematuhan, kukuhkan kutipan cukai

Duduk semeja dengan pengamal perundangan, lahirkan undang-undang lebih tegas

Duduk semeja dengan pengamal perundangan, lahirkan undang-undang lebih tegas

Putra sokong usaha kerajaan banteras rasuah, perkukuh integriti dan tatakelola

Putra sokong usaha kerajaan banteras rasuah, perkukuh integriti dan tatakelola

Pelan komprehensif tambah baik kawalan pintu sempadan negara diluluskan Jemaah Menteri

Pelan komprehensif tambah baik kawalan pintu sempadan negara diluluskan Jemaah Menteri

Undang-undang baharu fokus tadbir urus universiti, hak mahasiswa terpelihara

Undang-undang baharu fokus tadbir urus universiti, hak mahasiswa terpelihara

Putra cadang Akta Sabotaj Ekonomi Negara tangani salah guna kuasa

Putra cadang Akta Sabotaj Ekonomi Negara tangani salah guna kuasa